Berita Utama

Speaker ada kuasa putuskan status 4 MP Sabah keluar Bersatu

Tiada keperluan rujuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen terlebih dulu

BANGI, 7 Jamadilakhir 1444H, Sabtu – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul memiliki kuasa penuh untuk membuat keputusan secara bersendirian tanpa perlu merujuk mana-mana pihak.

Pakar Perlembagaan, Prof  Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, dalam menentukan keputusan itu, semua pihak perlu menghormati dan menerima sama ada empat Ahli Parlimen Sabah yang keluar Bersatu perlu mengosongkan kerusi atau sebaliknya.

“Speaker Dewan Rakyat boleh buat keputusan secara bersendirian.

“Tidak ada keperluan undang-undang untuk beliau rujuk pada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen terlebih dahulu,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas status empat Ahli Parlimen Sabah yang keluar parti.

12 Disember lalu, empat Ahli Parlimen iaitu Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang), mengumumkan keluar Bersatu, namun kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana mahu memberi sokongan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Prof Shamrahayu berkata, Speaker sememangnya mempunyai kuasa untuk menentukan perjalanan urusan Dewan Rakyat.

Malah, keputusan nanti tidak boleh dicabar di mahkamah berikutan Speaker yang diberi kuasa membuat keputusan, maka ia adalah urusan Dewan Rakyat.

Pada masa sama, beliau berpandangan, keempat-empat ahli Parlimen Sabah itu tidak perlu mengosongkan kerusi kerana keputusan keluar Bersatu bukan dibuat secara individu, sebaliknya secara ‘en block’.

Katanya, walaupun dibuat di peringkat cawangan parti di Sabah, keputusan keluar parti ini hakikatnya secara en block.

“Jika individu yang umum keluar parti, baru perlu dikosongkan kerusi yang disandang,” katanya.

Kelmarin, Johari mengesahkan menerima notis pemakluman daripada Bersatu mengenai kekosongan luar jangka membabitkan empat kerusi Parlimen di Sabah, dan memiliki 21 hari untuk membuat keputusan mengenainya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button