Premis judi, loteri di Kedah henti operasi mulai hari ini
Semua lesen tamat tempoh pada 31 Disember tak diperbaharui lagi

ALOR SETAR, 8 Jamadilakhir 1444H, Ahad – Seperti yang diarahkan kerajaan negeri, semua premis perjudian dan loteri di Kedah telah dihentikan operasinya mulai hari ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan tempatan telah diarahkan untuk memastikan semua cawangan premis mematuhi arahan itu.
“Semua bahagian kerajaan tempatan telah diarahkan untuk menyemak sama ada terdapat cawangan yang masih beroperasi.
“Semua lesen mereka telah tamat tempoh pada 31 Disember,” katanya ringkas seperti dilapot NST.
Sementara itu, semakan di sekitar Alor Setar mendapati semua kedai tiket perjudian atau loteri ditutup dan mempunyai notis yang dilampirkan di pintu hadapan premis masing-masing.
Sebuah cawangan agensi nombor loteri 4D Sports Toto di Jalan Sultanah Badlishah memaparkan notis penutupan yang menyatakan cawangan itu akan menghentikan operasi mulai 1 Januari sebagai mematuhi arahan kerajaan negeri.
Pengurus kedai itu, yang tidak mahu namanya disiarkan, mengesahkan semua perniagaan berkaitan perjudian atau pertaruhan di negeri ini telah ditutup.
“Semua di Kedah, bukan sahaja di Alor Setar, setiap cawangan 4D Sports Toto di seluruh negeri ditutup mulai hari ini.
“Saya juga difahamkan bahawa syarikat perjudian atau pertaruhan lain telah pun menutup perniagaan mereka di sini di negeri ini,” katanya.
Pada 14 November, Sanusi mengumumkan keputusan kerajaan negeri untuk tidak meluluskan lesen perjudian baharu mahupun memperbaharui lesen sedia ada sebaik tamat tempoh pada 31 Disember 2022.
Kerajaan negeri juga akan mengenakan peraturan yang lebih ketat untuk penjualan arak di kawasan yang mempunyai permintaan pasaran yang rendah.
Tegasnya, keputusan itu dibuat dengan niat untuk membendung kegiatan negatif yang boleh membawa kepada kemerosotan sosial dan tiada kaitan dengan isu perkauman, agama mahupun politik.