Artikel KhasBerita Utama

Siri I: Reformasi politik

Rakyat sentiasa tertipu dan ditipu oleh munafik politik

SUASANA politik hari ini sangat membimbangkan apabila masing-masing parti bersedia mengorbankan idealisme perjuangan semata-mata untuk mendapatkan kuasa. Sumpah seranah terhadap parti lawan sebelum pilihan raya akhirnya terpaksa dijilat semula.

Kenyataan-kenyataan diubah sesuka hati dan menyalahkan wartawan kononnya kerana silap melapor dan rakyat tersilap faham. Rakyat sentiasa tertipu dan ditipu oleh munafik politik. Mungkin mereka mendapat kuasa tetapi yang akan menimpa sengsara adalah rakyat dan negara.

Jika sistem politik ini tidak berubah dan dibiarkan ditentukan oleh politikus haiwanan maka sistem negara yang lainnya akan terus rosak.

Kalau kita imbas kembali, sebelum Parlimen dibubarkan antara isu yang hangat diperkatakan ialah tetang tarikh pembubaran Parlimen. Ada yang ingin disegerakan dan ada yang mahu dilambatkan.

Tekanan demi tekanan dikenakan kepada PM ketika itu sehingga setiap temuramah yang dibuat maka PM akan ditanya soalan berkaitan.

Ketidaktentuan tarikh pembubaran perlimen ini bukan sahaja menyebabkan keadaan politik tidak stabil malah pebur asing juga cuak untuk datang.

Bajet yang dibentang terpaksa dibuat kembali dan akan dibentangkan semula pada bulan Februari depan.

Apakah ini tidak membazir masa dan tenaga penjawat awam? Peniaga-peniaga koporat pun terpaksa menangguh keputusan-keputusan besar kerana bimbang akan tersalah langkah.

Projek-projek pula terpaksa ditangguhkan kerana bimbang akan berlaku pertukaran kerajaan dan polisi pentadbiran. PM pula menggunakan kuasa penentuan tarikh pembubaran ini sebagai alat untuk menekan pembangkang dan menjadikan ia sebagai bahan politik. Cuba bayangkan, kalau Tarikh pembubaran pun boleh dijadikan bahan mainan politik, apatah yang lain.

Untuk menyelesaikan kemelut ini dan berlaku adil kepada semua pihak maka adalah amat wajar TARIKH PEMBUBARAN PARLIMEN ATAU TARIKH PILIHANRAYA INI DITETAPKAN AWAL BUKAN PREROGATIF PM SEMATA.

Dalam hal ini penentuan tarikh tersebut boleh dibincang dan dipersetujui dalam Dewan Rakyat. Biar rakyat, parti pembangkang, pelabur asing, syarikat-syarikat koporat faham dan tahu tarikh pilihanraya hadapan. Semua pihak berhak tahu bila PRU akan diadakan demi kesejahteraan negara.

Apa yang berlaku baru-baru ini perlu diambil pengajaran sehingga berlaku tarikh-tarikh yang berbeza antara pusat dan negeri serta antara negeri sesama negeri. Rakyat penat, duit kerajaan habis secara tidak wajarnya, SPR juga akan lebih tertekan dengan bebanan yang tidak perlu. Majlis Raja-Raja akan terbeban.

Apa masalahnya kalau tarikh itu ditetapkan awal? Kenapa nasib 33 juta rakyat ditentukan oleh hanya seorang manusia?

Renungkanlah. Selamat tahun baharu.

Aminuddin Yahaya
1 Januari 2022

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button