Yakin mampu tawan Kedah, PH kata tsunami PN hanya sementara
Kerjasama PH, BN dijangka beri kemenangan pada PRN

ALOR SETAR, 8 Jamadilakhir 1444H, Ahad – Pakatan Harapan (PH) meramalkan ‘tsunami’ Perikatan Nasional (PN) di Kedah tidak bertahan lama, demikian kata Pengarah Biro Komunikasi dan Penerangan PH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh.
Ini kerana, katanya, gelombang sementara itu hanya wujud disebabkan oleh tiupan sentimen kaum dan agama oleh pihak tertentu.
“Ramai telah menyedari hakikat permainan sentimen ini yang hanya bertujuan meraih laba politik, tanpa memberi sebarang keuntungan dalam usaha membina negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, Dr Ismail berkata, PH yakin dapat menawan kembali negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi bersandarkan faktor tersebut.
Pada juga berkata, PH turut yakin untuk menawan Kedah bersandarkan dua lagi faktor termasuk kecemerlangan pentadbiran Kerajaan Perpaduan memerintah walaupun baru sebulan mengambil alih kerajaan Persekutuan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, kerjasama politik bersama UMNO turut diyakini menjadi antara faktor untuk meraih kemenangan di negeri ini.
“Perbincangan mengenai kerjasama ini di semua peringkat sudah pun bermula. Bersandarkan ketiga-tiga faktor ini, momentum tsunami PN itu akan reda sekali gus memberi kelebihan kepada gabungan PH dan Barisan Nasional (BN).
“Keadaaan itu seterusnya akan beri kemenangan dalam PRN akan datang,” katanya.