
KABUL, 9 Jamadilakhir 1444H, Isnin – Siasatan telah dijalankan selepas letupan berhampiran pusat pemeriksaan di lapangan terbang tentera Kabul membunuh dan mencederakan beberapa orang pada Ahad.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Abdul Nafi Takoor berkata, sebutir bom meletup berhampiran pintu masuk kemudahan di ibu negara Afghanistan.
“Beberapa rakyat negara kita terkorban dan cedera akibat letupan bom yang berlaku di luar lapangan terbang tentera Kabul,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan jumlah atau maklumat mengenai insiden itu, mengatakan bahawa butiran lanjut akan diberi kemudian.
Sementara itu, media tempatan memetik sumber keselamatan sebagai berkata, sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan lapan lagi cedera.
Penduduk yang tinggal berhampiran kemudahan itu berkata, bunyi letupan kuat kedengaran kira-kira jam 8 pagi.
Tiada siapa yang mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, bagaimanapun sekutu serantau Daesh telah meningkatkan serangan sejak pengambilalihan Taliban pada Ogos 2021.
Keadaan keselamatan di negara itu semakin merosot sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dengan sekutu kumpulan militan Afghanistan mendakwa bertanggungjawab atas pelbagai serangan yang menyasarkan diplomat Russia, Pakistan dan China serta orang awam di Kabul.
Sasaran lain, termasuk rondaan Taliban dan anggota minoriti Syiah Afghanistan. – Agensi