Berita UtamaDunia

China enggan benarkan duta Turkiye lawat Uyghur di Xinjiang

Beijing hanya mahu pelawat ikut program yang mereka sediakan

ANKARA, 9 Jamadilakhir 1444H, Isnin – Menteri Luar Turkiye mendedahkan bahawa China tidak membenarkan duta Turkiye melawat etnik Uyghur di Xinjiang – dan  mengakui perkara itu telah merenggangkan hubungan kedua-dua negara.

Pada taklimat akhbar akhir tahun di ibu negara Ankara, Menteri Luar Negeri, Mevlut Cavusoglu berkata, kerajaan China menyatakan bahawa delegasi kemanusiaan dari Turkiye boleh datang dan memeriksa Xinjiang.

“Sudah lima tahun sejak Presiden China, Xi Jinping mencadangkan hal ini. Mengapa sekarang mereka menghalang delegasi ini daripada melawat, kenapa tidak memberi kerjasama?

“Akibatnya, hubungan Turkiye-China terjejas kerana Beijing terganggu oleh sikap kami dalam isu Turkiye-Uyghur. 

“Mereka mempunyai permintaan ekstradisi untuk individu yang warganegara Türkiye, tetapi kami tidak menunaikan permintaan itu,” katanya.

Menepis dakwaan dan laporan selama bertahun-tahun bahawa Ankara telah mengekstradisi orang Uyghur dari negara itu kembali ke China, Cavusoglu menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘pembohongan sepenuhnya’.

“Kami mempertahankan hak Uyghur Turkiye di arena antarabangsa dan keputusan ini mengganggu China. Tetapi ini adalah isu kemanusiaan,” katanya.

Beliau memetik laporan setebal 48 muka surat yang diterbitkan Majlis Hak Asasi Manusia PB  mengenai Uyghur pada September, yang mendapati bahawa penahanan besar-besaran di wilayah Xinjiang selama ini ditandai dengan dokumentasi yang jelas.

Ini termasuk penyeksaan, keganasan seksual, buruh paksa, dan pengguguran paksa termasuk pemandulan.  

“Laporan itu mendedahkan semua pelanggaran (hak asasi manusia). Kami perlu bertindak balas terhadapnya,” katanya.

Daripada membenarkan duta Turki di China untuk bebas melawat wilayah di tempat Turki Uyghur tinggal, Cavusoglu menyatakan, Beijing sebaliknya mahu beliau mengikuti ‘program yang mereka sediakan.’

“Apa yang Turkiye mahukan ialah kerjasama dengan China secara telus.

“Mengapa kita perlu menjadi alat untuk propaganda China? Kita mahu bekerjasama, kita tidak melihat ini sebagai isu politik. 

“Kita bukan anti-China. Kami sentiasa mengatakan bahawa kami menyokong dasar Satu-China,” katanya lagi. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button