KPM perlu tangani segera beban tugas guru
Negara perlu silibus dan kurikulum baharu berasas pembelajaran

BANGI, 9 Jamadilakhir 1444H, Isnin – Isu beban tugas guru yang semakin berlebihan sehingga dikhuatiri menganggu fokus pengajaran mereka di dalam bilik darjah perlu tindakan segera.
Bagi Dr Anuar Ahmad, langkah itu sangat wajar diberi perhatian oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi meningkatkan kualiti pendidikan.
Pensyarah Pusat Kajian dan Kesejahteraan UKM itu berkata, tindakan mengemaskini beban tugas guru mesti dilakukan segera supaya semua guru dapat kembali kepada teras perkhidmatan mereka sebagai pengajar di sekolah.
“Semak dan jika perlu mansuhkan program-program ‘aksesori’ di sekolah supaya guru-guru dapat fokus kepada proses pembelajaran murid-murid.
“Selain itu, kaji dan tambah baik kurikulum dan silibus semua mata pelajaran khususnya di peringkat sekolah rendah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Dr Anuar berkata, ketika ini sistem pendidikan negara menggunakan format Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan amalan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
Amalan PBS ini adalah amalan penilaian yang holistik dan berterusan, sedangkan katanya, silibus sekolah rendah yang dilaksanakan sejak 2017 adalah kurikulum yang berasaskan peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Berikutan itu, beliau berpendapat, sistem pendidikan negara memerlukan silibus dan kurikulum baharu yang berasaskan pembelajaran – bukan lagi berasaskan peperiksaan – bagi memenuhi maksud dan matlamat PBS dan PBD.
Pada masa sama, keperluan untuk meningkatkan autonomi, reputasi dan memberikan kepercayaan kepada guru-guru sebagai ahli yang mahir dalam melaksanakan pendidikan negara.
Katanya, komunikasi antara guru dan pihak kepimpinan sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Kementerian Pendidikan (KPM) perlu diperkasakan.
“Semua pihak berkaitan pengurusan pendidikan mestilah lebih terbuka untuk mendengar secara berkesan pandangan guru. Berikan ruang untuk guru berkreativiti di dalam bilik darjah. Berikan peluang untuk guru-guru mentaksir murid-murid mereka secara bebas, telus dan bertanggungjawab.
“Berikan autonomi untuk guru-guru melakukan pengajaran dan PBD mengikut keadaan yang sebenar tanpa campur tangan mana-mana pihak.
“Apa yang penting, sentiasa latih dan tingkatkan kemahiran pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan pentaksiran para guru dalam melaksanakan tanggungjawab mereka secara berkesan dan berintegriti,” katanya.