Berita Utama

Presiden Matta kata gesaan sekat pelancong dari China tak rasional

Tan mahu kerajaan fikir kesan ekonomi terhadap pelaksanaan sebarang dasar

KUALA LUMPUR, 9 Jamadilakhir 1444H, Isnin – Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) membidas gesaan supaya menutup sempadan negara kepada pelancong China.

Tidak berpuas hati, Presiden Matta, Datuk Tan Kok Liang hari ini menyifatkan desakan itu sebagai tidak rasional dan tidak bertanggungjawab.

“Sejak pembukaan semula sempadan pada awal 2022, negara kita telah mencapai kemajuan yang stabil, positif ke arah pemulihan.

“Sebarang reaksi mengejut untuk memperkenalkan semula sekatan tanpa perancangan memberi risiko kepada kami.

“Matta percaya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menguruskan ketibaan warga China seperti yang mereka lakukan kepada pelancong lain dari seluruh dunia,” katanya.

Tan berkata, keputusan kerajaan harus mengimbangi kesihatan dan kesejahteraan rakyat, reputasi Malaysia sebagai destinasi selamat dan kesan pada ekonomi.

Data daripada Tourism Malaysia menunjukkan 3.1 juta pelancong China melawat Malaysia pada 2019, menjadikannya pasaran sumber ketiga terbesar negara untuk ketibaan antarabangsa, katanya.

Jelas Tan, anggaran awal menunjukkan bahawa 1.2 juta orang Cina akan masuk ke Malaysia pada 2023 yang dijangka menjana RM 3.6 bilion untuk sektor pelancongan.

“Ingatlah pengembara China tidak akan tiba serentak, sekaligus membolehkan kerajaan untuk memantau dan mengurus keadaan semasa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button