Berita Utama

ADUN pembangkang Pahang dakwa dinafikan hak kerana politik dendam

Peruntukan untuk pembangunan setempat tak disalurkan

BANGI, 10 Jamadilakhir 1444H, Selasa – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam mendakwa kerajaan negeri Pahang menganaktirikan wakil rakyat pembangkang kerana dendam politik.

Kerajaan negeri didakwa telah memberi arahan kepada agensi kerajaan supaya tidak menerima kunjungan hormat daripada ADUN pembangkang di negeri tersebut.

Pendedahan berkenaan dibuat ADUN Bukit Ibam, Nazri Ahmad yang mendakwa, kesemua mereka telah dinafikan hak sedangkan wakil rakyat tersebut adalah pilihan rakyat.

“Episod dianaktirikan itu bermula selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan pembentukan Kerajaan Perpaduan melalui parti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Kami (ADUN) daripada Perikatan Nasional (PN) telah dihalang untuk menyewa premis awam seperti dewan orang ramai, walaupun hanya untuk diadakan majlis kenduri kesyukuran,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.

Lebih menyedihkan, Nazri mendakwa, peruntukan kerajaan negeri untuk pembangunan setempat juga tidak disalurkan melalui ADUN PN.

“Kami masih menunggu adakah kerajaan Pahang tidak akan menyalurkan peruntukan kepada ADUN-ADUN pembangkang apabila melantik ADUN caretaker di kawasan yang dimenangi pembangkang,” katanya.

Mengulas lanjut, Nazri yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Rompin itu berkata, budaya buruk menampakkan kerajaan negeri sedang menggali lubang untuk menimbus kerajaannya sendiri.

“Politik dendam hanya akan merosakkan hubungan, merugikan rakyat dan membabitkan kebenaran rakyat terhadap pelakunya,” ujar beliau.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button