Berita Utama

Isu Menara KL: Annuar ambil tindakan terhadap 3 individu

Isu kepentingan rakyat, negara perlu disiasat dengan teliti

BANGI, 10 Jamadilakhir 1444H, Selasa – Tan Sri Annuar Musa akan mengambil tindakan undang-undang terhadap tiga individu yang didakwa memfitnahnya berhubung isu penjualan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, sejak tercetus polemik berhubung Menara KL yang kononnya dijual senyap-senyap oleh Telekom Malaysia (TM), telah tersiar pelbagai kenyataan yang mengelirukan.

Lebih buruk lagi katanya, terdapat beberapa ‘posting’ yang tanpa segan silu membuat fitnah yang menjejaskan imej dan reputasi serta memberi kesan mendalam kepada beberapa pihak termasuk dirinya sendiri.

“Setelah merujuk perkara tersebut serta meneliti secara mendalam bersama peguam, saya tiada pilihan melainkan mengarahkan peguam mengambil tindakan menurut jalur undang-undang terhadap tiga individu iaitu Adrian Lim Chee En, K Pragalath Kumar dan Mohd Razlan Rafii.

“Ada juga yang membuat ‘posting’ tanpa mengemukakan identiti sebenar mereka dan pihak saya akan cuba untuk mengenalpasti mereka.

“Saya serahkan kepada pasukan peguam untuk memulakan tindakan yang sesuai dan bertepatan dengan undang-undang sedia ada,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Dalam pada itu, Annuar berkata, setiap perkara berbangkit, terutama yang membabitkan kepentingan rakyat dan negara perlu disiasat dengan teliti oleh pihak berwajib.

“Semua pihak perlu memberikan kerjasama serta tidak mengganggu penyiasatan dengan menyebarkan fitnah dan berita palsu,” katanya.

Isu pengambilalihan pengurusan Menara KL tular di media sosial baru-baru ini apabila orang ramai mempersoalkan keputusan TM melalui anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) memindahkan pemilikan penuh mereka kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd pada Oktober lalu.

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil tiga saksi bagi membantu siasatan isu berkenaan.

Menurut SPRM, pihaknya juga mendapatkan beberapa dokumen daripada pihak berkaitan untuk diteliti.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button