Berita Utama

Kedah tak rugi walau tiada kedai judi

‘Kalau untung RM400 juta pun saya tetap tutup’: Sanusi

ALOR SETAR, 11 Jamadilakhir 1444H, Rabu – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, negeri itu tidak rugi walaupun menutup sepenuhnya operasi premis judi.

Ini kerana, kutipan cukai aktiviti judi hanya berjumlah RM400,000 pada 2021.

Justeru, beliau yakin penutupan premis judi mulai 1 Januari lalu, bakal memberi lebih banyak impak positif kepada masyarakat dan negeri pada masa hadapan.

“Pada 2021, keseluruhan pendapatan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kedah hasil daripada cukai premis judi cuma sekitar RM400,000 sahaja.

“Malah jika RM400 juta sekali pun saya tetap tutup premis judi,” katanya seperti dilapor BH.

Beliau berkata, apa yang lebih dikhuatiri adalah kesan akibat berjudi yang membawa pengaruh negatif kepada rakyat seluruhnya.

“Kesan buruk judi lebih teruk, ada kalangan masyarakat dan ahli keluarga jadi berselerak kerana ada bapa jadi tahi judi, balik rumah pukul anak dan isteri, jual harta dan curi duit hanya kerana gila judi.

“Judi tidak beri langsung untung pada negeri, kita lebih untung apabila masyarakat selamat. Saya harap tindakan ini dapat sokongan kerana ia selari tuntutan Islam,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai keputusan mengehadkan penjualan arak secara terbuka, beliau menegaskan arahan itu juga dimulakan pada 2021 membabitkan premis di kawasan ramai umat Islam.

“Kita akan pastikan penjualan arak hanya dibenarkan di kawasan didiami penduduk bukan Islam dan dalam jumlah munasabah, kita tidak halang orang bukan Islam minum arak, tapi ia tidak boleh dijual di tempat tidak ada orang mengambilnya.

“Di Singapura ada banyak amaran jelas melarang penduduknya minum arak dan memandu, Malaysia baharu hendak nasihat jangan minum dan memandu. 

“Singapura lebih tegas dalam undang-undang berkaitan minuman keras, namun tidak ada pihak yang mengadu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button