
BANGI, 11 Jamadilakhir 1444H, Rabu – UMNO perlu dibersihkan daripada pengkhianat dan rejim lama selepas parti itu ditolak bangsa Melayu dan Islam, khususnya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan PRU15.
Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, UMNO kini perlu diperbaiki dan kembali ke landasan sebenar.
Justeru beliau mengajak ketua bahagian UMNO, ketua pemuda, puteri dan perwakilan menyertai kempen ‘Asal bukan Zahid’ bagi memperbaiki kerosakan parti.
“Ambillah kesempatan untuk bersihkan parti daripada pemimpin-pemimpin pengkhianat dan penggerak jajaran baharu,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Tun Faisal menambah, pemimpin yang gagal dalam PRU14, perlu ditolak dan digantikan semula dengan pemimpin yang lebih herein dan membawa pembaharuan kepada UMNO.
Beliau berpandangan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu digantikan dan pemimpin pembodek juga digantikan supaya UMNO akan lebih diterima rakyat.
“UMNO perlu dikembalikan kepada perjuangan asal. Berubah atau berkubur pada PRU16,” katanya.
Semalam, kira-kira 100 Ketua UMNO bahagian di seluruh negara melancarkan kempen secara senyap untuk menggantikan Presiden UMNO itu menjelang pemilihan UMNO yang dijadual didakan dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kempen ‘Asal Bukan Zahid’ bermula apabila beberapa Ketua UMNO Bahagian mengadakan perjumpaan dengan Bendahari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien agar mengambil tanggung jawab tersebut bagi memulihkan parti tersebut.