Erdogan semak semula kenaikan gaji penjawat awam, pesara
Kenaikan 30 peratus berbanding 25 peratus sebelum ini

ANKARA, 12 Jamadilakhir 1444H, Khamis – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyemak semula kenaikan gaji bagi kakitangan awam dan pesara kepada 30 peratus berbanding 25 peratus sebelum ini.
Semakan berkenaan dibuat menjelang negara itu menuju pilihan raya pertengahan tahun ini.
Berucap ketika mesyuarat di Parlimen pemimpin utama parti AK itu berkata, pencen terendah bagi pesara di negara tersebut sebanyak 5,500 lira (RM1,291.20) bagi tahun ini.
Disember lalu, Institut Statistik Turki yang dikendalikan kerajaan melaporkan kadar inflasi tahunan negara tersebut sebanyak 64.27 peratus manakala inflasi bebas pula meletakkan angka pada 137.5 peratus.
Di negara tersebut, kenaikan gaji penjawat awam dan pesara ditentukan oleh kadar inflasi setiap enam bulan.
Semalam, Erdoğan mengumumkan kenaikan gaji sebanyak 25 peratus bagi kakitangan awam dan pesara.
Manakala, gaji minimum dinaikkan sebanyak 54.6 peratus kepada 8,506 lira (RM1996.91) bagi tahun ini. – Agensi