Berita Utama

Pencabar wajar tanding jawatan Presiden, Timbalan Presiden UMNO

Isu perlu diselesai supaya parti dapat teruskan khidmat dalam kerajaan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 12 Jamadilakhir 1444H, Khamis – Meskipun kedudukan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dilihat ‘kuat’ ketika ini, ia tidak bermakna jawatan itu tidak boleh dicabar dalam pemilihan parti akan datang.

Penganalisis politik, Dr Azmi Hassan, seharusnya kedua-dua jawatan itu dipertandingkan kerana selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipersalahkan atas kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) ketika itu.

“Jika benarlah tuduhan itu, maka siapa yang mengatakannya perlu mencabar Presiden.

“Bagaimanapun, saya lihat kedudukan Presiden dan Timbalan Presiden agak kuat ketika ini. Jadi biarkan yang mencabar itu mencabar kedua-dua jawatan ini.

“Ianya dapat diselesaikan oleh perwakilan atau ahli UMNO itu sendiri supaya tidak timbul cakap-cakap belakang bahawa tidak patut Presiden dan Timbalan Presiden itu ada di kerusi masing-masing kerana kekalahan PRU15 lepas,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Azmi berpendapat isu ini perlu diselesaikan supaya UMNO dapat meneruskan khidmat mereka dalam kerajaan pada ketika ini.

Isu kedudukan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO menimbulkan banyak pendapat mengenai kewajaran, sama ada perlu dipertandingkan atau sebaliknya.

Selepas sekian lama berdiam diri mengenai perkara itu, Ahmad Zahid hari ini memberi bayangan bahawa beliau sedia untuk dicabar oleh mana-mana calon bagi kerusi panas berkenaan.

Katanya, beliau sebelum ini juga pernah dicabar dalam pemilihan pada 2018, namun kedua-dua pencabarnya gagal memperoleh undi yang banyak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button