Berita Utama

PRN Kedah: PN yakin menang 33 kerusi DUN

Sanusi jangka PH hanya boleh menang tiga kerusi sahaja

BANGI, 12 Jamadilakhir 1444H, Khamis – Perikatan Nasional (PN) yakin mampu memenangi 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keyakinan itu berdasarkan pencapaian gabungan tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Katanya, tindakan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bergabung juga dilihat tidak menjejaskan peluang PN menang pada PRN ini.

“Kita tahu PH akan bekerjasama dengan BN seperti yang berlaku di Persekutuan, di peringkat negeri juga akan berlaku perkara sama.

“Tetapi kalau undi PH dicampur dengan undi BN sekalipun, kita lihat PN tetap akan menang lagi.

“Saya jangka PH hanya boleh menang di tiga kerusi saja iaitu DUN Kota Darul Aman, Bakar Arang dan Sidam,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Menteri Besar Kedah itu berkata, momentum PN sehingga kini masih memberangsangkan dan didapati meningkat setiap hari.

“Momentum kita sentiasa bertambah, tidak akan pudar sama sekali, kita juga buat kerja sehabis baik yang mana kita boleh buat.

“Rakyat menilai apa mereka (PH) buat, mereka kata pandai buat, apabila jadi (kerajaan) sebulan tak tahu nak buat apa lagi. Formula itu tak boleh pakai, formula ini tak boleh pakai, orang sembang pasal ayam dan telur, dia sembang pasal babi.

“(Jadi) tak akan rakyat Malaysia nak sokong kerajaan pening,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button