Berita Utama

UMNO ditimpa mudarat besar jika jawatan Presiden tak dipertanding

Walak pada presiden konon untuk parti kuat dan menang, tapi lagi kalah teruk

BANGI, 12 Jamadilakhir 1444H, Khamis – UMNO bakal ditimpa mudarat lebih besar sekiranya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail berkata, semakin dekat hari Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, semakin banyak pendapat menyokong dan menyanggah supaya jawatan Presiden dan Timbalan dipertandingkan.

“Yang mahu pemilihan diadakan ada sebab tersendiri, yang enggan pula ada kepentingan serta sebab tertentu.

“Yang tidak mahu pemilihan punyai pelbagai alasan. Walak kepada pemimpinlah, setia kepada Presidenlah. Paling mual, nak pastikan kestabilan untuk hadap Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Alasan sama sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Konon untuk pastikan parti kuat dan menang. Menang apanya? Kalah teruk lagi ada. Paling teruk dalam sejarah. 26 kerusi sahaja berbanding 54 kerusi PRU14,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau.

Menurutnya, situasi adalah lebih baik bagi UMNO sebelum PRU15 di mana parti itu mengetuai kerajaan dan pemimpinnya menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun, desakan pihak tertentu atas alasan kestabilan membawa kepada kesudahan yang lebih porak peranda buat UMNO, katanya.

“Sekarang nak sekat demokrasi dengan alasan kestabilan lagi? Hanya yang gila kuasa dan kemaruk jawatan serta kepentingan sahaja tak tahu malu guna alasan konon suci macam ini. Jutaan lagi ahli UMNO tahu sangat agenda masing-masing.

“Kalau betul dua jawatan ini tidak dipertandingkan, tunggulah UMNO akan ditimpa mudarat lebih besar. Bukan ahli UMNO sahaja hilang kepercayaan tetapi rakyat juga akan berpaling muka dari UMNO.

“Mana kita lagi sanggup tengok? UMNO kekal dihormati ahlinya sendiri walaupun segelintir akan menyalak kerana hilang kuasa atau UMNO dikuburkan rakyat buat selama-lamanya?” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button