Pejuang selangor sedia kerjasama parti politik lain hadapi PRN
Akan diusulkan pada EGM 14 Januari depan

BANGI, 13 Jamadilakhir 1444H, Jumaat – Parti Pejuang Selangor sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik lain sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketuanya, Harumaini Omar berkata, perkara berkenaan akan diusulkan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan pada 14 Januari ini.
“Pejuang Selangor sudah bincang usul ini dalam mesyuarat di peringkat negeri dan sebarang ketetapan dan keputusan pucuk pimpinan akan menjadi garis panduan serta hala tuju Pejuang pada masa akan datang,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, pada masa ini, Pejuang Selangor melihat peluang untuk berkoloborasi bersama BN dan Pakatan Harapan (PH) lebih ke depan.
Namun, pihaknya tidak menafikan bersedia untuk kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) berikutan pernah bersama sebelum ini.
“Ramai rakan kita dalam Bersatu, asalkan buang ego dan sama-sama melihat kepada matlamat perjuangan sebenar,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, Pejuang Selangor tetap akur jika kepimpinan tertinggi parti berpendirian untuk bergerak secara solo.