Berita UtamaDunia

Ahli parti tak setuju BN tarik sokongan dari kerajaan Sabah

Bukan masa sesuai gugat kestabilan, tukar kerajaan

KOTA KINABALU, 14 Jamadilakhir 1444H, Sabtu – Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Shahelmey Yahya menentang tindakan Barisan Nasional (BN) negeri menarik sokongan daripada kerajaan negeri.

ADUN Tanjung Keramat itu berkata, beliau tidak menghadiri sidang media BN/UMNO malam tadi kerana tidak bersetuju dengan langkah itu.

“Saya tidak berada di sana kerana saya tidak menyokong (Pengerusi BN Sabah) Datuk Seri Bung Moktar Radin dan tindakan lain. Saya rasa ini bukan masa yang sesuai untuk menggugat kestabilan atau menukar kerajaan.

“Prestasi BN/Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah baik dalam tempoh dua tahun ini di mana negeri ini telah meningkatkan hasil daripada bawah RM5 bilion kepada RM6.6 bilion tahun lepas. Kami berjaya menarik pelabur dengan jumlah nilai pelaburan melebihi RM33 bilion.

“Mengapa kita mahu menukar kerajaan tanpa alasan konkrit yang menimbulkan persepsi politik tidak stabil di Sabah?

“Ini akan menghalang pelabur atau menjejaskan keyakinan mereka untuk melabur di negeri ini. Saya membuat siasatan, rakyat juga tidak mahu pertukaran kerajaan sekarang,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan sebaliknya berkata, masa harus digunakan untuk bekerja dan membangunkan ekonomi dan negeri.

Malam tadi, Bung Moktar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata, BN mempunyai 18 ADUN termasuk Mohammadin Ketapi dari Segama yang telah menyertai kumpulannya.  

Bagaimanapun, lima daripada mereka menentang keputusan gabungan itu untuk menarik sokongan daripada kerajaan negeri sekarang.

Mengenai kemungkinan tindakan yang boleh diambil terhadapnya kerana melanggar keputusan pimpinan, Shahelmey berkata, beliau bersedia dengan sebarang kemungkinan kerana ini adalah hak parti.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button