Berita Utama

Dua Datuk ditahan kes beli, ambil alih konsesi Menara KL

Ratusan ribu ringgit, jam tangan mewah dihadiah kepada pihak atasan

PUTRAJAYA, 14 Jamadilakhir 1444H, Sabtu – Dua lelaki, dipercayai pengarah kanan di syarikat mereka, telah ditahan berhubung kes yang dikaitkan dengan pembelian dan pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd.

Difahamkan, kedua-dua suspek yang bergelar Datuk itu ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Suspek dilaporkan berumur 48 dan 58 tahun, dan mereka dikatakan pengarah kanan syarikat yang berbeza.

Sumber yang mempunyai pengetahuan mengenai siasatan berkata, salah seorang daripada mereka ialah pengarah urusan syarikat yang mengambil alih saham Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd.

“Suspek lain adalah ahli perniagaan yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah dalam proses pengambilalihan itu,” kata sumber.

Sumber itu berkata, penyiasat percaya bahawa beberapa ratus ribu ringgit dan sebuah jam tangan mewah dihadiahkan kepada pihak atasan yang terlibat dalam pengambilalihan itu.

Kedua-dua lelaki itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini untuk permohonan reman.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan itu tetapi enggan mengulas lanjut kerana siasatan sedang dijalankan.

Pada 29 Disember tahun lepas, SPRM berkata, pihaknya telah memanggil tiga orang berhubung siasatannya terhadap penjualan saham mencurigakan yang melibatkan pemilikan pengurusan Menara KL.

SPRM juga mengesahkan terdapat siasatan berterusan terhadap perkara itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button