Ribuan rakyat Yaman protes pencerobohan kejam Arab Saudi
Tutup lapangan terbang, pelabuhan lebih teruk daripada perang

SA’ADA, 14 Jamadilakhir 1444H, Sabtu – Ribuan turun ke jalan raya di bandar Sa’ada Yaman dan kawasan lain bagi mengecam pencerobohan tentera pakatan pimpinan Arab Saudi dan pengepungan kejam ke atas negara Arab itu.
Penunjuk perasaan berpusu-pusu dari pelbagai daerah di Sa’ada pada hari Jumaat untuk mengutuk sekatan AS-Saudi-Emirat di Yaman di bawah slogan ‘pengepungan adalah perang’.
Mereka membawa bendera Yaman dan gambar pemimpin gerakan penentangan popular Ansarullah, Abdul-Malik Badreddin al-Houthi.
Mereka juga melaungkan slogan menentang hegemoni AS, menyalahkan pencerobohan AS-Saudi kerana pengepungan berterusan.
Berucap pada perhimpunan itu, Gabenor Sa’ada, Mohammed Jaber Awad berkata, penunjuk perasaan menyuarakan bantahan susulan pencerobohan yang diketuai Arab Saudi dan sekatan udara dan laut di Yaman.
Katanya, Angkatan Tentera bertekad tidak membenarkan ‘kekayaan minyak dan gas negara terus dirompak.’
Pegawai itu menegaskan, sekatan dan penutupan lapangan terbang serta pelabuhan adalah lebih teruk daripada peperangan dan bom.
Atas sebab itu, pihaknya bersedia dengan sebarang keputusan yang akan diambil oleh pemimpin, termasuk keamanan atau perang.
Penunjuk perasaan turut menyelar serangan rejim Israel terhadap rakyat Palestin dan mencemarkan Masjid al-Aqsa.
Mereka juga menyeru sokongan dari negara-negara Islam lain untuk menghadapi musuh Zionis.
Arab Saudi, dengan kerjasama sekutu Arabnya dan dengan sokongan senjata dan logistik dari AS dan negara Barat lain, melancarkan perang yang dahsyat ke atas Yaman pada Mac 2015. – Agensi