Berita Utama

Jaminan spontan PM tak iktiraf LGBT, komunis perlu dibuktikan

Rakyat tak lupa insiden abu mayat Chin Peng, pertemuan aktivis Nisha Ayub

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 15 Jamadilakhir 1444H, Ahad – Rakyat kini sedang menantikan tindakan pelaksanaan dan bukan lagi sekadar ungkapan yang bersifat populis demi meraih sokongan.

Justeru, jaminan spontan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak mengiktiraf golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender), konsep negara sekular dan ideologi komunis dalam kerajaan campuran pimpinannya perlu dibuktikan.

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Mohd Noor Azib Asmangi berkata, langkah itu perlu memandangkan kerajaan sekarang ditunjangi Pakatan Harapan (PH) yang cenderung mendukung keterbukaan dan mengangkat prinsip hak kesamarataan.

“Harus diingat kerajaan PH pada 2019, telah mengangkat Akta Kesamarataan Gender dimana undang-undang tersebut mengiktiraf golongan transgender seperti yang berlaku di Barat.

“Paling menggemparkan pada tahun yang sama apabila kira-kira 1,000 orang telah menyertai perarakan Hari Wanita yang mempertahankan hak LGBT.

“PH ketika itu secara lembut seolah-olah mengiktiraf golongan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Anwar menerusi program Naratif Khas bersama Perdana Menteri di Radio Televisyen Malaysia (RTM) memberi jaminan bahawa golongan LGBT, konsep negara sekular dan ideologi komunis tidak mungkin diiktiraf dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kadang orang politik ini dia kata umpama kalau Anwar jadi perdana menteri maka habis Islam dan sekular akan bertapak, LGBT disahkan, orang komunis bertapak.

“Ini igauan siang hari. Tentunya tidak berlaku dan insya-Allah di bawah kuasa pentadbiran saya perkara ini tidak mungkin berlaku,” katanya Anwar.

Mengimbas kembali pemerintahan PH sebelum ini, Ustaz Mohd Noor Azib berkata, rakyat sehingga kini tidak pernah melupakan tindakan menteri agama pada ketika itu, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang mengadakan pertemuan dengan aktivis LGBT, Nisha Ayub.

Ini termasuk, pengiktirafan Timbalan Perdana Menteri kerajaan PH, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail terhadap hak-hak golongan berkenaan.

Katanya, perkara sama turut berlaku apabila mengiktiraf gerakan komunis pada 2018, di mana rakyat masih ingat peristiwa abu mayat Chin Peng yang dibawa balik.

“Bukan itu sahaja, komik berunsur komunisme yang diangkat DAP dan seruan untuk mengiktiraf komunis sebagai salah satu gerakan yang menuntut kemerdekaan negara.

“Semua ini berlaku dalam kerajaan 22 bulan tempoh pimpinan PH yang mana pada ketika itu Anwar adalah salah seorang daripada pimpinan di majlis presiden,” katanya.

Beliau berkata, jika tidak kerana desakan pembangkang dan tumbangnya kerajaan PH pada 2020, beberapa penganalisis politik menjangkakan pengiktirafan terhadap LGBT dan ideologi komunis akan menjadi lebih kuat.

“Justeru, rakyat pada hari ini sedang dan akan terus melihat setiap tindakan yang dilakukan oleh kerajaan campuran Perdana Menteri ke-10.

“Sudah pasti, semua lapisan masyarakat akan bangkit dan menolak jika ada sahaja tindakan-tindakan yang bertentangan dengan norma dan budaya termasuk dalam perkara kronisme dan nepotisme seperti yang beliau sering laungkan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button