Kemelut politik Sabah: ‘Takkan asyik berpolitik 24 jam’
Apakah tiada sekelumit simpati pada rakyat Sabah?

BANGI, 15 Jamadilakhir 1444H, Ahad – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan kecewa dan kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang mencetuskan pergolakan hingga mengheret kepada kemelut politik di Sabah.
Apatah lagi, kekalutan politik itu berlaku tatkala rakyat di negeri berkenaan sedang bergelut dengan pelbagai cabaran hidup dan ekonomi.
“Apakah tiada langsung walaupun sekelumit perasaan simpati kepada rakyat Sabah yang sedang bergelut dengan cabaran kehidupan dan ekonomi?
“Takkan asyik berpolitik 24 jam!,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu berkata, rakyat Sabah juga berhak mendapatkan kestabilan politik dan diberi ruang daripada semua kekalutan yang timbul.
“Mereka marah, mual dan muak dengan politik.’Kesabaran’ dalam berpolitik adalah tuntutan demokrasi.
“Ianya salah satu tiang seri demokrasi. Kalau tiada kesabaran, demokrasi akan pincang,” katanya.
Semalam, UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah menamatkan kerjasama membentuk kerajaan negeri Sabah yang dimeterai sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September 2020.
Pengerusi BN Sabah yang juga Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, keputusan sebulat suara pemimpin UMNO Sabah itu selepas mengambil kira tindakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memecat Pengarah Pilihan Raya BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah dan mengugut dengan mengumumkan rombakan Kabinet negeri.
Katanya, Hajiji sudah melanggar persefahaman yang dibuat di antara BN dengan Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang dibuat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September 2020.
Berikutan tindakan ADUN UMNO itu, kerajaan negeri pimpinan Hajiji mempunyai 42 kerusi daripada 79 kerusi keseluruhan termasuk enam kerusi ADUN Dilantik.