Berita Utama

Cukuplah tolak ansur selama ini, jangan tunduk ugutan NGO ultra kiasu

Negara kita ada agenda nasional yang perlu digalas

BANGI, 16 Jamadilakhir 1444H, Isnin – Kementerian Pendidikan (KPM) diingatkan tidak bertolak ansur dalam soal pendidikan meskipun mendapat ugutan daripada mana-mana pertubuhan Cina.

Ini kerana, tolak ansur yang diberikan selama ini sudah cukup, namun langsung tidak dihargai, malah diugut pula supaya tunduk desakan mereka, kata Prof Dr Mohd Ridhuan Tee.

“Kenapa kita harus tunduk kepada tekanan NGO ultra kiasu ini. Mereka hanya NGO. NGO! Faham.

“Jangan lagi kita gagal dalam membina negara bangsa. Negara ini ada agenda nasional yang perlu dipikul dan digalas. Sudahlah anak kita dipisahkan sejak kecil, penguasaan bahasa negara berada dalam tahap yang amat rendah.

“Bila bahasa tidak dikuasai, semua perkara lain akan terjejas. Kehidupan mereka di rumah langsung tidak ada sepatah perkataan Melayu,” katanya dalam kenyataan kepada Ismaweb.net.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) bahawa penggunaan bank soalan yang sama untuk subjek Bahasa Melayu (BM) bagi semua aliran sekolah adalah tidak sesuai.

Mengulas lanjut, Prof Ridhuan Tee meminta semua pihak sedar bahawa anak Melayu dan Cina tidak bergaul ketika berada di institusi pengajian tinggi.

Katanya, di universiti awam polarisasi sangat jelas apatah lagi di universiti swasta yang jurangnya teramat ketara.

Lebih malang lagi apabila adanya universiti berasaskan parti politik.

“Inilah kesilapan terbesar UMNO apabia meluluskan universiti berasaskan parti – bangsa – sehingga agenda hidup bernegara tergendala.

“UMNO sendiri tidak ada universiti, tetapi MCA, MIC dan Gerakan ada universiti sendiri, mengikut citarasa bangsa mereka,” katanya.

Rentetan itu, beliau meminta semua pihak belajar membina negara daripada Bumiputera Sabah dan Sarawak yang tidak pernah minta sekolah berasaskan kaum.

“Jika mereka minta juga, berapa ratus jenis sekolah berasaskan kaum yang perlu kita wujudkan, sedangkan mereka lebih berhak kerana mereka bukan pendatang.

“Dalam kata lain, kita tidak ada sekolah Melayu, yang ada hanya sekolah agama – berasaskan Perlembagaan – tetapi kita ada sekolah Cina dan sekolah India – Tamil.

“Hebatkan! Inilah yang kita canangkan ‘unity in diversity’, ‘Malaysia truly Asia’, ‘Social Cohesion’, kesepaduan dan penyatuanpaduan. Kita telah ‘dikencing’ sebenarnya,” katanya.

Pautan terdahulu;
https://ismaweb.net/2023/01/09/ridhuan-tee-bidas-jiao-zong-tetap-enggan-berubah-lebih-rela-anak-cina-tak-kuasai-bm/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button