Berita Utama

Isu kenaikan kos umrah diusul pada Arab Saudi

Agensi umrah diminta cari kaedah terbaik tak bebankan jemaah

BANGI, 16 Jamadilakhir 1444H, Isnin – Isu kenaikan harga hotel di Makkah dan Madinah akan dibangkitkan kepada pihak Arab Saudi pada Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Na’im Mokhtar yang kini berada di negara tersebut bagi menghadiri persidangan berkenaan berkata, perkara berkenaan di luar kawalan kerajaan.

“Merujuk kepada laporan bahawa berlaku kenaikan kadar harga hotel di Makkah dan Madinah yang dikenakan oleh pengusaha hotel.

“Saya amat memahami perkara ini sedikit sebanyak telah membangkitkan keresahan para jemaah umrah.

“Sepertimana sedia maklum, perkara ini adalah di luar kawalan pihak kita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, situasi tersebut disebabkan impak kenaikan kos di Arab Saudi sendiri yang tentunya juga memberikan kesan kepada jemaah negara lain.

Justeru, beliau mengharapkan pihak agensi umrah di tanah air dapat memberi pertimbangan ruang dan kaedah terbaik agar kenaikan kos dikenakan tidak melampau sehingga membebankan jemaah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain mengadakan perbincangan mengenai isu berkaitan pengurusan haji dan umrah pihaknya turut berhasrat untuk mengemukakan isu kenaikan kos berkenaan kepada Menteri Haji Arab Saudi.

“Kami melihat situasi ini adalah impak daripada kenaikan kos di Arab Saudi. Ia tentunya memberi kesan bukan setakat kepada jemaah umrah Malaysia, bahkan kepada jemaah negara lain,” katanya.

Terdahulu, bakal jemaah umrah diminta bersiap sedia sekiranya dimaklumkan berlaku kenaikan harga pakej umrah oleh agensi pelancongan masing-masing pada saat akhir sebelum mereka berlepas ke Tanah Suci.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button