Maszlee nafi spekulasi ditawar jawatan
Hanya teguran Anwar kembali aktif bantu PH pada PRN

BANGI, 16 Jamadilakhir 1444H, Isnin – Dr Maszlee Malik menafikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan jawatan dalam kerajaan kepada beliau.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu menjelaskan, teguran Perdana Menteri untuk beliau kembali aktif membantu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Status Facebook dua hari lepas menjadi berita dan spekulasi. Terima kasih kepada semua yang berbaik sangka dan menaruh harapan.
“Saya tidak menyebutkan apa-apa mengenainya di dalam status tersebut.
“Apa yang pasti ianya merupakan teguran oleh Perdana Menteri untuk saya kembali aktif membantu parti (PKR) dan PH menjelang PRN di negeri-negeri yang diperintah oleh PH sekarang, terutamanya Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya.
Terdahulu, hantaran dimuatnaik Maszlee di Facebook, mencetuskan persoalan apabila beliau berkongsi kata-kata Anwar ketika bertemu pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.
Anwar dipetik sebagai berkata, ‘bersiap sedia, cuti sabatikal anda akan berakhir dalam tempoh terdekat.
Dalam pada itu, Maszlee memaklumkan, beliau bersetuju dan menawarkan diri membantu Menteri Besar di kedua-dua buah negeri berkenaan dalam waktu terdekat.
Selain PRN, beliau juga menawarkan diri kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk turun ke sekolah-sekolah bertemu para guru bagi memberikan motivasi dan menaikkan semangat mereka terutamanya di dalam usaha para guru memulihkan anak-anak murid pasca COVID-19.
“Melalui jerayawara itu juga diharapkan saya akan dapat membawa inspirasi dan suara Menteri Pendidikan serta kerajaan kepada para guru untuk terus membangunkan pendidikan.
“Jawatan? Tiada apa yang dijanjikan. Apa yang diminta ialah pengorbanan demi rakyat setakat ini,” katanya.