Berita Utama

PRN: PH Negeri Sembilan sedia kerjasama BN

Hala tuju politik hanya diputuskan melalui Majlis Presiden PH

BANGI, 16 Jamadilakhir 1444H, Isnin – Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan bersedia menjalinkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, secara dasarnya PH Negeri Sembilan tiada masalah untuk bekerjasama dengan BN.

“Kebanyakan daripada kami memilih untuk bersetuju dengan apa yang telah diputuskan pucuk pimpinan parti.

“Di peringkat akar umbi saya rasa ada yang menerima dari sudut negatif dan positif.

“Tapi bagi saya penyokong parti pastinya akan ikut apa yang telah diputuskan oleh pucuk pimpinan parti,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Bagaimanapun beliau menegaskan di peringkat negeri pula, pihaknya tiada kuasa untuk menentukan hala tuju politik dan perkara itu hanya dapat diputuskan melalui Majlis Presiden PH, hujung bulan ini.

“Di peringkat PH, kata putus akan dibuat oleh Majlis Presiden PH dan keputusan itu akan dilaksanakan bukan sahaja pada PRN Negeri Sembilan nanti, ianya termasuk Selangor dan Pulau Pinang.

“Kita telah minta supaya pucuk pimpinan parti, Majlis Presiden PH untuk berbincang dan kita tunggu hingga hujung bulan ini,” katanya.

Setakat ini belum ada pertemuan dengan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membincangkan hal tersebut.

“Saya belum lagi jumpa dengan Tok Mat (Mohamad) secara rasmi, tapi jumpa di Parlimen dan majlis lain itu adalah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button