Berita UtamaDunia

Jangan takut pelancong China, kita sudah ada vaksin: Dr Malina

Ancaman COVID-19 sekarang sudah tak seteruk tahun 2020

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 17 Jamadilakhir 1444H, Selasa – Realiti sebenar situasi wabak COVID-19 dan ancamannya ketika ini tidak lagi sama seperti awal penulara nnya pada tahun 2020.

Pakar Kesihatan Awam, Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, rata-rata rakyat sekarang sudah menerima vaksin yang mampu bertindak sebagai perisai kepada jangkitan coronavirus. 

Berbanding pada 2020, rakyat bergantung sepenuhnya kepada penjarakan sosial dan tingkah laku untuk mengekang penularan.

“Namun, selepas ada vaksin, kita lihat pola penurunan kes yang ketara. Dan kini kita sudah pun berada pada fasa peralihan endemik.

“Jadi, apa yang kita perlu lihat adalah ancaman seperti 2020 itu tiada lagi berdasarkan data sedia ada di peringkat global, dan kemaskini data dari China. Sebenarnya di Jepun juga berlaku lonjakan kes, seperti juga di Taiwan, Jerman dan beberapa buah negara Eropah yang sekarang ini mengalami musim sejuk. 

“Kita perhatikan secara keseluruhan pada pola sedemikian lebih kurang sama sebenarnya selepas kita melalui fasa peralihan endemik, dan tidak ada kita lalui ledakan seperti India sebelum ini,” katanya dalam program Dimensi yang disiarkan TV Pertiwi, hari ini.

Justeru, bagi Dr Malina, perkara yang relevan untuk dilakukan oleh rakyat sekarang adalah seperti yang ditekankan Perdana Menteri untuk kekal dengan cadangan dan syor oleh Kementerian Kesihatan. 

“Sekarang ini memang disarankan mereka yang berisiko, petugas barisan hadapan untuk mendapatkan dos penggalak kedua.

“Vaksin ini memang perlu ambil, tetapi kalau keadaan dalam badan tidak begitu sihat, kadang-kadang ia juga akan menjurus kepada potensi komplikasi yang teruk,” katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai gaya hidup yang boleh memberi kesan kepada tahap kesihatan tubuh badan seseorang.

“Kita perlu lihat tekanan darah, paras gula cara hidup, merokok dan sebagainya yang perlu diambil berat. Imuniti seseorang itu tidak ditentukan sama ada ambil vaksin atau tidak,” katanya.

Pada masa sama, Dr Malina menegaskan, walaupun pakar kesihatan menekankan untuk mengambil semua syor KKM, sebenarnya setiap daripada rakyat perlu mengambil inisiatif sendiri dalam memastikan kesihatan kendiri yang optimum.

“Tanggungjawab kita untuk menterjemahkan kebimbangan itu dengan menjaga diri kita, bukannya dengan berhujah, mencemuh, memandang remeh atau memperolok-olokkan mereka yang berada di China atau mereka yang mahu datang ke negara kita. 

“Saya rasakan itu satu pendekatan yang tidak wajar. Kita menjadi bias di situ kepada golongan tertentu yang dikatakan membawa bencana. 

“Sedangkan mengikut statistik tiada perbezaan pun potensi penyebaran antara negara China ataupun negara lain,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button