KKM jangka tiada lonjakan kes COVID-19 musim perayaan
Kes dapat dikawal meski semua sektor sudah dibuka

PUTRAJAYA, 17 Jamadilakhir 1444H, Selasa – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjangkakan tidak berlaku lonjakan kes baharu COVID -19 ketika musim perayaan ini.
Ini berdasarkan beberapa pengalaman yang menyaksikan perayaan dan penganjuran melibatkan orang ramai sebelum ini.
“Setelah sempadan negara dibuka semula pada 1 April 2022, pelbagai perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Aidiladha dan Krismas telah dilalui.
“Ini termasuk kembalinya rakyat Malaysia dari tanah suci, malah ketika Pilihan Raya Umum ke-15, tidak berlaku lonjakan kes,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, tidak dinafikan bahawa terdapat kebimbangan ketika kelonggaran sekatan COVID-19 bermula April tahun lalu, namun sehingga kini keadaan terkawal.
“Pengalaman kita pada 1 April lepas, pada permulaan kita tidak yakin kes dapat dikawal dengan baik.
“Tetapi ternyata tempoh masa lebih lapan bulan telah menunjukkan kes dapat dikawal dengan baik walaupun dah buka semua sempadan, semua sektor dan membenarkan semua perayaan dan perhimpunan,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, kes baharu COVID-19 dalam negara menunjukkan trend penurunan iaitu kurang 500 kes baharu dicatatkan setiap hari dalam tempoh dua minggu lepas, berbanding antara 3,000 ke 4,000 kes beberapa bulan sebelum ini.
Beliau berkata, vaksin yang digunakan juga dilihat masih mampu memberi perlindungan daripada jangkitan COVID-19.