Berita Utama

MP Permatang Pauh bantah keras promosi arak terbuka di pusat beli belah

Ibarat cabar umat Islam yang sensitif dengan arak

BANGI, 17 Jamadilakhir 1444H, Selasa – Ahli Parlimen Permatang Pauh, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan membantah sekeras-kerasnya penjualan arak secara terbuka di Sunway Carnival Mall, Seberang Jaya.

Beliau menggesa pihak terbabit bertindak menutup promosi tersebut dengan kadar segera.

“Saya mendapat beberapa laporan dan aduan bahawa satu promosi secara besar-besaran berkaitan jualan arak jenama Carlsberg di ruang legar Sunway Carnival Mall, Seberang Jaya.

“Aduan tersebut daripada pengunjung-pengunjung muslim ke Sunway Carnival Mall dan menimbulkan rasa tak selesa di kalangan mereka.

“Mempromosi secara besar-besaran dan jualan terbuka ibarat mencabar sensitiviti umat Islam yang sensitif dengan arak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan, umum mengetahui arak memabukkan dan mengundang permasalahan besar, dan banyak kes jenayah jalan raya yang meragut nyawa disebabkan pemandu mabuk.

“Jika dikaitkan implikasi perkara ini, Sunway Carnival Mall seolah-olah mempromosi arak untuk orang mabuk,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkaitan sepatutnya menjaga sensitiviti umat Islam dan agama Islam sebagai agama rasmi.

“Mempromosi arak juga berselisihan dengan prinsip Rukun Negara yang ke-5 iaitu Kesopanan dan Kesusilaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button