Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Penguatkuasaan lemah punca tanah rizab Melayu tak diganti

Teliti semula undang-undang tanah rizab sama ada masih relevan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 17 Jamadilakhir 1444H, Selasa – Isu penyusutan tanah rizab Melayu bukan perkara baharu namun kerap kali berlaku sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Secara perundangan, undang-undang sedia ada telah mencukupi dalam usaha untuk mentadbir dan menjalankan kuasa pelaksanaan dalam melindungi nisbah atau keluasan tanah rizab Melayu di Semenanjung Malaysia.

Pun begitu, masih terdapat kelompangan perundangan sedia ada dalam memperkemas dan memperkasakan kuasa perundangan yang boleh diambil ke atas pihak yang melanggar peruntukan dan syarat yang terkandung dalam undang-undang rizab Melayu.

Susulan itu, Prof Madya Dr Mohd Hasrol Haffiz Aliasak berpendapat, perundangan sedia ada perlu diperkuat dan diperkasakan terutama yang menyentuh tindakan perundangan yang lebih ketat dalam mengekang isu pembatalan tanah rizab Melayu tanpa penggantian dengan serta merta.

“Seperti yang telah kita maklum, Artikel 89, Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan syarat bahawa mana-mana TRM (tanah rizab Melayu) yang dibatalkan status mestilah digantikan semula dengan serta merta dan tanah gentian tersebut mestilah ‘similar-in-character’.

“Namun kelemahan perundangan terutama dari aspek penghakiman dan campur tangan politik telah mengakibatkan penguatkuasaan tersebut menjadi longgar,” kata Pensyarah Kanan Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seri Iskandar di Perak itu.

Dari aspek penghakiman dan tindakan perundangan ke atas pihak-pihak yang melakukan perlanggaran, beliau berpandangan tindakan perundangan agak lemah seperti denda yang rendah.

Bahkan tidak ada peruntukan berhubung dengan pemenjaraan atas kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan pelanggaran peruntukan dalam Enakmen Rizab Melayu (ERM).

“Oleh itu, sudah tiba masanya pihak-pihak yang berkepentingan dan penggubal undang-undang untuk meneliti semula undang-undang TRM sedia ada di mana satu penilaian yang menyeluruh harus dilakukan bagi mengenal pasti sama ada undang-undang TRM sedia ada ini masih lagi relevan pada masa kini.

“Atau perlu dimansuhkan dan digantikan suatu undang-undang yang baru dengan mengambil kira iklim dan persekitaran pada masa sekarang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button