Berita UtamaDunia

Tiada lagi kuota, had umur jemaah haji tahun ini

Semua boleh tunai ibadah, kembali kepada keadaan sebelum wabak

RIYADH, 17 Jamadilakhir 1444H, Selasa – Arab Saudi pada Isnin mengumumkan tiada had jumlah jemaah yang boleh mengerjakan haji pada tahun ini.

Menteri Haji dan Umrah, Tawfiq al-Rabiah memberitahu wartawan di Riyadh bahawa ibadah haji akan kembali kepada keadaan sebelum wabak, tanpa sebarang had umur.

Ia merujuk kepada sekatan sebelumnya yang mengehadkan jemaah haji kepada golongan bawah 65 tahun.

Ibadah haji tahunan – yang diwajibkan terhadap umat Islam sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka – merupakan Rukun Islam kelima dan dijangka berlangsung pada Jun tahun ini.

Kira-kira 2.5 juta orang mengambil bahagian dalam ibadah itu pada 2019, bagaimanapun jumlahnya terhad pada tahun-tahun berikutnya apabila wabak COVID-19 bermula.

Hanya 1,000 warga Arab Saudi melakukan ibadah tahunan Islam pada 2020, manakala angka itu meningkat kepada 60,000 jemaah haji pada 2021.

Sekurang-kurangnya 900,000 jemaah haji – termasuk kira-kira 780,000 warga asing – melawat Makkah dan Madinah, kota suci dalam Islam pada 2022.

Jemaah dikehendaki menerima vaksin COVID-19 dan mengemukakan keputusan negatif ujian COVID-19.

Pada Oktober 2022, kerajaan membuat keputusan bersejarah untuk membenarkan wanita menghadiri haji dan umrah tanpa mahram atau penjaga lelaki. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button