Berita Utama

Mahdzir Khalid nafi terlibat ‘Langkah London’

‘Memang pergi London, tapi tak jumpa sesiapa pun’

BANGI, 18 Jamadilakhir 1444H, Rabu – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menafikan penglibatannya dalam ‘Langkah London’ walaupun mengesahkan berada di United Kingdom (UK), ketika itu.

Tegasnya, dakwaan dirinya terbabit dalam langkah itu bersama beberapa pemimpin lain tidak benar sama sekali.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan seorang penulis blog mengenai pembabitan beliau bersama Datuk Seri Ismail Sabri dalam gerakan menjatuhkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2022 bermula malam ini.

Seorang penulis blog mendakwa dua Naib Presiden UMNO itu mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin di London untuk menjatuhkan Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO.

Dakwaan itu menyatakan gerakan sulit yang dinamakan ‘Langkah London’ bertujuan menjatuhkan Ahmad Zahid dalam usaha menggulingkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya nafi kerana tidak ada pun, memang saya pergi London tapi saya tidak jumpa pun dengan sesiapa dan orang-orang yang disebut dalam dakwaan itu.

“Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pun sudah buat kenyataan, dia tidak ada di London dan berada di Dubai. Jadi Langkah London tidak betul,” katanya seperti dipetik portal tempatan hari ini.

Sebelum ini, tular gambar yang menunjukkan beberapa individu didakwa termasuk Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan tertutup di London.

Dalam pada itu, bekas Menteri Pendidikan itu mengakui sudah lali dengan dakwaan terhadap dirinya.

“Ke mana sahaja saya pergi ada sahaja ‘langkah’, saya ada di London baru-baru ini, jadi saya fikir jauh nak pergi sampai ke London.

“Dulu Langkah Kajang sahaja, tidak betul sebenarnya, jadi saya fikir sebagai salah satu orang lama dalam UMNO, saya pun telah bersetuju dengan parti untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Saya berada dalam mesyuarat di mana keputusan dibuat untuk menubuhkan kerajaan Perpaduan dengan PH,” katanya.

Pada masa sama, beliau mempersoalkan mengapa namanya turut terpalit dalam agenda berkenaan.

“Mengapa pula ada sekumpulan dikaitkan dengan nama saya pergi ke London adakan mesyuarat dan berusaha untuk mencari jalan untuk menjatuhkan kerajaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button