Berita Utama

Desakan Jiao Zong hanya lemahkan lagi penguasaan BM pelajar SRJK

Patut bantu perkasakan bahasa kebangsaan di sekolah vernakular

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 19 Jamadilakhir 1444H, Khamis – Dakwaan Jiao Zong kononnya penggunaan bank soalan yang sama untuk subjek Bahasa Melayu bagi semua aliran sekolah tidak sesuai, semakin melampau.

Terdahulu, Pengerusi Jiao Zong, Cheah Lek Aee dilaporkan berkata, jumlah masa pengajaran bahasa Melayu (BM) adalah berlainan antara sekolah rendah jenis kebangsaan (SRJK) dan sekolah kebangsaan (SK) dan bahasa itu juga merupakan bahasa ibunda murid Melayu.

Beliau berkata, penggunaan soalan dari bank soalan yang sama untuk Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) bagi semua aliran sekolah adalah bertentangan dengan prinsip pendidikan.

Justeru, Lek Aee meminta Kementerian Pendidikan (KPM) memperbetulkan dasar berkenaan kerana waktu pelajaran subjek BM adalah tidak sama antara SRJK dan SK tidak kira pada tahap pertama (darjah satu hingga tiga) atau tahap kedua (darjah empat hingga lima).

Bagi Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM), Datuk Abdul Raouf Husin, tuntutan pertubuhan Cina itu hanya menyebabkan murid bukan Melayu kekal lemah dalam penguasaan bahasa Melayu.

Atas sebab itu, KPM perlu teguh mengekalkan dasar satu kurikulum untuk semua subjek khususnya yang berunsur pembentukan negara bangsa.

“KPM jangan tunduk permintaan membezakan soalan terutama subjek bahasa Melayu, kelak hanya menyebabkan murid di SJK kekal tidak fasih bahasa kebangsaan.

“Lebih malang, ia akan melebarkan jurang dan membantutkan usaha memupuk perpaduan di peringkat persekolahan.

“Walaupun waktu subjek BM di SK dan SRJK tidak sama, Jiao Zong tidak boleh ambil kesempatan. Mereka harus perlu perkasakan bahasa Melayu di SJK,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Abd Raouf menasihatkan Jiao Zong supaya bersikap akur kerana ini adalah ketetapan kerajaan dan bukannya boleh dipinda sesuka hati untuk kepentingan diri.

“Permintaan Jiao Zong sangat tidak munasabah seolah-olah merajakan murid di SJK sehingga akhirnya tidak tahu berbahasa kebangsaan,” katanya.

Abdul Raouf berkata, dasar KPM untuk proses pendidikan negara turut merangkumi usaha menyatupadukan rakyat berbilang kaum, dan agama melalui penggunaan bahasa Melayu yang betul.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button