Aktivis Uyghur kecam propaganda delegasi ke Xinjiang
China guna alasan perangi keganasan tapi benarkan jenayah

BEIJING, 19 Jamadilakhir 1444H, Khamis – Aktivis Uyghur menyifatkan lawatan delegasi ulama Islam ke wilayah Xinjiang sebagai ‘propaganda’ yang berkhidmat untuk China ketika republik itu terus menafikan dakwaan memenjarakan ribuan muslim Uyghur.
Seramai 30 ulama Islam dari 14 negara majoriti Islam, termasuk ulama prokerajaan dari Bahrain, Mesir, Arab Saudi, Tunisia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), melawat wilayah Xinjiang sebagai sebahagian daripada delegasi yang dianjurkan oleh Majlis Komuniti Muslim Sedunia (WMCC).
Gambar yang disiarkan oleh media negara China menunjukkan delegasi WMCC – yang diketuai oleh ahli akademik Emiriah, Ali Rashid al-Nuaimi, melawat pelbagai tapak sebagai sebahagian daripada lawatan berbilang bandar mereka di wilayah Xinjiang.
Ditubuhkan di UAE, WMCC berkata, matlamatnya untuk menyokong orang Islam di negara majoriti bukan Islam dan melindungi mereka secara intelek, rohani dan daripada diskriminasi kaum atau pembersihan etnik.
Dalam kenyataan akhbar oleh WMCC, Ali Rashid – yang memperjuangkan normalisasi antara Israel dan dunia Arab – mengulangi dakwaan China bahawa tindakan kerasnya terhadap Uyghur adalah sebahagian daripada polisi untuk memerangi keganasan di wilayah Xinjiang.
Bagaimanapun, Presiden Kongres Uyghur Sedunia, Dolkun Isa membidas dakwaan beliau dan berkata, China sering menggunakan alasan memerangi keganasan untuk mewajarkan jenayah ‘bentuk tingkah laku agama harian dan undang-undang, seperti menyimpan janggut atau memakai hijab dan memiliki al-Quran.’
“Adalah keterlaluan WMCC mengambil bahagian dalam lawatan propaganda ini dan kini bergema naratif Kerajaan China.
“Ini adalah satu peluang yang sia-sia untuk bertanya soalan sebenar mengenai keadaan sebenar rakyat Uyghur dan secara terbuka mengutuk pembunuhan beramai-ramai semasa, dan menunjukkan bahawa sebagai ‘wakil’ masyarakat Islam global, mereka benar-benar mengambil berat mengenai umat Islam Uyghur,” kata Isa kepada Middle East Eye.
Katanya lagi, ulama tertentu, terutamanya dari negara-negara yang pernah mengalami pembunuhan beramai-ramai terhadap umat Islam, seperti Bosnia gagal belajar daripada pengalaman lalu dan membela mangsa jenayah kekejaman di tempat lain.
Kerajaan China didakwa menahan lebih sejuta etnik Uyghur dan minoriti Islam lain di wilayah timur Xinjiang dan menjadikan masyarakat itu sebagai subjek penderaaan bahkan beberapa pihak telah melabelkan sebagai pembunuhan beramai-ramai.
China bagaimanapun menyangkal semua dakwaan penderaan. – Agensi