Berita UtamaDunia

Israel bunuh kejam 2 pejuang Palestin

Rejim Zionis menyamar ketika serbu kem pelarian

NABLUS, 19 Jamadilakhir 1444H, Khamis – Dua rakyat Palestin maut akibat tembakan tentera rejim Israel dalam insiden berasingan di Tebing Barat yang diduduki, semalam.

Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan, Ahmad Abu Junaid, 21, ditembak di kepala dan cedera parah ketika serbuan tentera di kem pelarian Balata Nablus pada pagi Rabu.

Dia dibawa ke Hospital Rafidia untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada petang semalam.

Media Palestin melaporkan, pasukan tentera Israel yang menyamar menyerbu kem Balata pada awal pagi.

Serbuan itu mencetuskan konfrontasi membabitkan lontaran batu dan berbalas tembakan.

Kumpulan bersenjata Lions Den – yang berpangkalan di Nablus – dalam satu kenyataan berkata, anggota pejuangnya terbabit dalam pertempuran ketika Abu Junaid ditembak.

Katanya, dia adalah anggota kumpulan bersenjata ‘Briged Balata’.

Tentera Israel mendakwa, pihaknya melepaskan tembakan ke arah seorang warga Palestin bersenjata yang menembak mereka.

Bagaimanapun tiada tentera yang dilaporkan cedera.

Sementara itu, di kawasan lain di Tebing Barat, seorang lelaki Palestin ditembak mati selepas dia didakwa cuba menikam seorang peneroka haram Israel di Hebron.

Dia dikenali sebagai Sanad Mohammad Samasra berusia 19 tahun.

Pakar perubatan Israel berkata, seorang lelaki cedera akibat tikaman berhampiran pos penempatan haram di kawasan Hebron. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button