Pakaian seragam pramugari kita wajar ikut British Airways
Malu jika kerajaan tidak mampu laksana dasar ini

BANGI, 19 Jamadilakhir 1444H, Khamis – Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyambut baik kebebasan kod pakaian seragam baharu yang diperkenalkan British Airways kepada semua kakitangan syarikat penerbangan itu baru-baru ini.
Terdahulu, buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun, British Airways mula memperkenalkan pakaian seragam baharu dengan menyertakan pilihan tunik dan tudung untuk kru kabin wanita sebagai pilihan pertama atau ‘airlines first’.
Dalam pengenalan pakaian seragam baharu itu, kru lelaki mempunyai pilihan memakai sut (three-piece suit) manakala wanita boleh memakai gaun, skirt atau seluar bukan sekadar jumpsuit.
Susulan kepada langkah tersebut, Ketua Wanita ISMA, Dr Suriani Sudi yakin syarikat penerbangan yang berpangkalan di London itu sudah menerima hakikat betapa majmuknya masyarakat mereka kini yang secara aktif mengambil bahagian dalam pelbagai industri perkhidmatan.
Sehubungan itu, beliau berpendapat, implementasi pilihan pakaian seragam baharu bersama tunik dan tudung untuk pramugari seharusnya menjadi ikutan syarikat penerbangan negara ini.
Ini memandangkan Islam agama Persekutuan dan muslim merupakan penduduk majoriti.
“Malu sekiranya, kerajaan tidak mampu melaksanakan dasar ini.
“Sehingga sekarang syarat untuk menjadi pramugari mestilah tidak bertudung dan perlu mematuhi etika berpakaian yang telah ditetapkan. Ini mengakibatkan sesetengah wanita muslim terpaksa membuka tudung ketika bekerja dan ada yang menarik diri daripada kerjaya ini.
“Sedangkan perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa setiap individu berhak menganuti dan mengamalkan agamanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Berikutan itu, beliau menegaskan tindakan majikan yang meminta pekerja membuka tudung jelas tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.
Sedangkan katanya, manfaat pilihan uniform baharu ini bukan sahaja kepada pekerja wanita muslim tetapi kepada semua wanita untuk mempunyai pilihan mengenakan pakaian seragam yang lebih sopan dan selesa.
“Wanita ISMA komited memperjuangkan kebebasan wanita muslimah untuk mengamalkan tuntutan agama mereka terutama di tempat kerja,” katanya.