Berita Utama

Kaitkan isu arak dengan solat, Exco DAP seolah cuba semarakkan Islamofobia

Masih tiada tindakan diambil terhadap Chang Khim

BANGI, 20 Jamadilakhir 1444H, Jumaat – Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Khim mengaitkan isu arak dengan solat umat Islam disifatkan sebagai biadab.

Timbalan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Aminuddin Yahaya mendakwa, tindakan Exco DAP itu jelas satu cubaan menyemarakkan Islamofobia dan kebencian agama.

Namun, katanya, apa yang lebih dikesalkan adalah sehingga kini tiada tindakan tegas diambil ke atas Chang Kim.

“Sebagai bukan Islam, tidakkah beliau sedar bahawa arak memang merosakkan keluarga, masyarakat dan negara?

“Sudah tentu perkara yang merosakkan sebegini tidak patut dipromosikan besar-besaran ala-ala karnival secara terbuka di ruangan awam seperti ruang legar kompleks membeli belah.

“Bukan susah sangat pun nak faham, melainkan hati memang dah pekat dengan kebencian dan Islamofobia,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Sementara itu, Aminuddin secara sinis mengakui kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Perhimpunan Agung UMNO semalam bahawa DAP tidak bermuka-muka.

“Benarlah kata Tok Mat dalam PAU semalam. Katanya UMNO pilih berkawan dengan DAP sebab DAP tak bermuka-muka dan berpura-pura.

“Inilah contoh jelas agaknya. Kalau dia Islamofobia, dia terus tunjuk. Orang Melayu janganlah terpedaya dengan ‘kempen’ suci menyuci DAP.

“Apa-apa pun, tahniah YB Ustaz Muhammad Fawwaz atas qudwah yang ditunjukkan ini!” katanya.

Baru-baru ini, Chang Kim yang merupakan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Industri Kecil dan Sederhana Selangor memuatnaik status di Facebook menyatakan, “Kalau kamu tak minum (arak), tapi tengok pun boleh mabuk, itu masalah kamu, bukan masalah arak. Sia-sia kamu sembahyang”.

Kenyataan itu rentetan tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan bertemu dengan pihak pengurusan Sunway Carnival Mall bagi menyampaikan ketidakselesaan pengunjung muslim.

Dalam pertemuan itu, Fawwaz membantah sebarang penjualan atau promosi arak secara besar-besaran seperti di ruang legar utama kompleks beli belah itu.

Menyambut baik bantahan itu, penganjur berjanji akan menjalankan promosi secara tertutup dalam tempoh seminggu ini, demi menjaga sensitiviti umat Islam dan masyarakat sekitar.

Chang Kim bagaimanapun memadam hantaran berkenaan selepas menerima kecaman pelbagai pihak.

Pautan berkaitan;

MP Permatang Pauh bantah keras promosi arak terbuka di pusat beli belah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button