Berita Utama

UMNO berusaha keras ‘sucikan’ kerjasama dengan PH

Benarkah UMNO masih perjuangkan 'Hidup Melayu'?

BANGI, 20 Jamadilakhir 1444H, Jumaat – UMNO nampaknya berusaha keras untuk ‘mensucikan’ kerjasama mereka bersama Pakatan Harapan (PH) yang sedia maklum didominasi DAP, dakwa Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad.

“Kata mereka, kerjasama bersama PH ini adalah strategi politik terbaik untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.

“Kononnya jika UMNO bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), akan berlaku perebutan kerusi dalam segmen yang sama seterusnya akan membunuh UMNO sedikit demi sedikit.

“Tidakkah tuan-tuan ingat dalam lapan siri Pilihan Raya Kecil (PRK) yang ditandingi ‘Muafakat Nasional’, kesemuanya adalah calon-calon daripada Barisan Nasional? Adakah ini yang dikatakan hendak membunuh UMNO?,” soalnya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa UMNO bekerjasama dengan DAP pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana parti itu tidak bermuka-muka dan berpura-pura dalam setia kawan.

Mengimbas data pada PRU15 lalu, Kamaruzaman bagaimanapun berkata, sokongan orang Melayu Islam kepada PN adalah sebanyak 54 peratus, BN 33 peratus manakala PH 11 peratus.

Menurutnya, ia membuktikan bahawa PH mendapat bilangan tertinggi kerusi pada PRU lalu disebabkan oleh sokongan kukuh bukan Melayu yang melebihi 90 peratus.

“Tetapi UMNO-BN tetap memilih bekerjasama dengan PH yang telah mengakibatkan semakin lemah kuasa politik Melayu Islam dalam negara ini.

“Jadi, benarkah UMNO masih memperjuangkan ‘Hidup UMNO, Hidup Melayu’?

“Tidakkah sekiranya penyatuan Melayu-Islam itu kuat, lebih mudah untuk parti-parti teras Melayu Islam ini mentadbir negara Malaysia yang majoriti rakyatnya adalah Melayu Islam? Kenapa dipilih PH yang jelas ditolak oleh orang Melayu sendiri?,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button