Berita Utama

‘UMNO boleh ditalkin kerana sudah sampai tarikh luput’

Rakyat perlu parti baharu bawa suara, nadi perjuangan orang Melayu

BANGI, 20 Jamadilakhir 1444H, Jumaat – UMNO sudah boleh ditalkin apabila semakin hari ia semakin hilang arah, identiti dan jati diri sebenar, kata Naib Presiden BERJASA.

Ir Ts Lukman Al Hakim berkata, keadaan itu adalah petanda parti Melayu berkenaan telah tamat tarikh luput dan perlu diganti dengan perjuangan yang lebih segar dan mempunyai hala tuju.

Malah, kenyataan beberapa pimpinan parti itu yang terkini dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sangat menyedihkan.

“Kita lihat selepas kekalahan PRU15, parti itu hilang arah, tiada identiti, jati diri dan mula mengeluarkan kenyataan pelik dan jelik berkaitan perjuangan.

“Ini menampakkan petanda parti Melayu itu akan berkubur satu hari nanti terutama berkaitan pendirian berkaitan DAP terhadap kerjasama PH.

“Perkara-perkara lain yang pada hemah saya sangat-sangat bermotif kepentingan Presiden UMNO, yang terpalit dengan isu salah laku dan kes mahkamah yang belum selesai,” katanya seperti dipetik TV Pertiwi, hari ini.

Lukman berkata, adalah sangat mengejutkan apabila UMNO menegaskan bahawa parti itu tidak akan mampu ada tanpa sokongan Melayu dan kaum-kaum lain.

Katanya, UMNO sebenarnya terhegeh-hegeh untuk mendapat sokongan bukan Melayu walaupun kaum itu sangat kukuh sokongannya dan teguh kepada parti cauvinis DAP.

“Kita kena faham bukan Melayu tidak akan menyokong UMNO tapi UMNO yang terhegeh-hegeh, hidung tak mancung pipi tersorong-sorong untuk dapatkan sokongan bukan Melayu.

“Bukan Melayu sangat solid dan tegas dan tuntas dengan parti cauvinis DAP, jadi kenapa UMNO masih lagi tidak sedar diri dan masih mengharapkan sokongan bukan Melayu,” katanya.

Namun, Lukman pada masa sama menyifatkan perkara berkenaan adalah sandiwara yang membuktikan UMNO sudah hala tuju dan kenyataan semata-mata untuk mengabsahkan tindakan presiden bersama dalam Pakatan Harapan (PH) dan DAP.

“Ini semua hanya untuk menyelamatkan diri sendiri bukan untuk perjuangan ahli-ahli, parti apatah lagi negara dan kemashlatan bangsa Melayu secara keseluruhannya,” katanya.

Justeru, beliau berpandangan UMNO telah tamat tarikh luput perjuangan Melayu dan perjuangannya sudah tidak boleh diharapkan lagi walaupun sekian lama menjadi parti yang membela nasib orang Melayu sebelum ini.

“Hakikatnya, kita perlu alternatif, parti atau gabungan untuk membawa suara-suara orang Melayu untuk jadi nadi perjuangan orang Melayu yang baharu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button