Berita Utama

Zahid dalam ketakutan hadapi pertandingan jawatan presiden?

Pendedahan tak beri kesan kepada parti tetapi makan diri sendiri

BANGI, 20 Jamadilakhir 1444H, Jumaat – Tindakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk daripada UMNO menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yasin jelas membuktikan dirinya berada dalam ketakutan dalam menghadapi pertandinganv jawatan Presiden.

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, tidak sewajarnya pendedahan itu dibuat kerana ia langsung tidak memberi kesan kepada parti tersebut.

Sebaliknya, tindakan berkenaan boleh memakan dirinya sendiri selain memberikan gambaran mengenai dirinya yang didakwa sedang ‘berkomplot’ dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekerjasama dengan DAP.

“Saya rasa pendedahan itu tidak memberi kesan kerana ahli UMNO dan rakyat tahu siapa 10 orang itu kerana mereka bukan ahli biasa tapi merupakan Ahli Parlimen. Ahli UMNO yang setia, tahu gelagat pemimpin mereka.

“Kenapa bercerita tentang itu (10 nama) sedangkan beliau sendiri melanggar ketetapan PAU dan MKT,” katanya seperti dipetik Sinar Harian, hari ini.

Rabu lalu, Ahmad Zahid membuat pendedahan mengenai 10 Ahli Parlimen itu ketika berucap pada sesi taklimat khas Presiden UMNO yang diadakan secara tertutup sempena Persidangan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Ahmad Atory berkata, tindakan itu kemungkinan dibuat semata-mata mahu mendapat sokongan supaya jawatan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan.

“Tapi tindak-tanduknya diperhatikan akar umbi. Mereka tunggu masa dan melihat pilihan raya negeri (PRN) nanti, bagaimana penerimaan rakyat. Adakah ahli UMNO merestui atau tidak ‘hubungan’ UMNO dan DAP?,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Atory menegaskan hak ahli UMNO tidak boleh disekat kerana ia melanggar perlembagaan parti.

“Ahli UMNO tidak boleh ‘dirantai’. Mana boleh sebuah parti menghalang jawatan utama tidak dipertandingkan, ia melanggar perlembagaan parti,” jelasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button