Berita Utama

Isu perwakilan import, Isham sangkal dakwaan KJ

Gesa minta maaf pada semua perwakilan UMNO

BANGI, 21 Jamadilakhir 1444H, Sabtu – Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil menyangkal dakwaan Khairy Jamaluddin kononnya beberapa tanda nama yang dikhaskan untuk perwakilan UMNO pada kerusi dalam Dewan Merdeka ditanggalkan untuk undian usul pada petang ini.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau menyifatkan dakwaan bekas Ketua Pemuda UMNO itu bahawa ada perwakilan import akan dibawa masuk untuk mengundi usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan sebagai fitnah.

“Saya ada dalam Dewan Merdeka sekarang, tidak ada perwakilan import seperti dituduh atau difitnah KJ.

“KJ pastinya tahu, setiap perwakilan di dalam Dewan Merdeka yang mewakili bahagian masing-masing kenal sesama sendiri yang duduk di barisan kerusi mereka atau siapa yang duduk di sebelah mereka.

“Jika ada orang yang mereka tidak kenal atau tidak sepatutnya berada di situ, mereka akan tahu dan pemeriksa-pemeriksa pas pun akan tahu,” katanya.

Susulan itu, Isham meminta supaya Khairy Jamaluddin masuk sendiri ke dalam Dewan Merdeka dan memeriksa dakwaanya.

“Saya saran dengan segala hormatnya supaya KJ datang sendiri ke Dewan Merdeka sekarang dan tunjuk mana satu perwakilan import yang didakwanya tersebut.

“Jika tidak, saya harap KJ dapat meminta maaf kepada semua perwakilan-perwakilan UMNO di sini kerana telah menuduh mereka diimport.

“Dan perlu minta maaf kepada pemeriksa-pemeriksa pas dan skuad sabil Pemuda kerana telah menfitnah mereka tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Fitnah itu lebih teruk dari membunuh,” katanya.

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2023/01/14/langkah-dewan-merdeka-bunuh-demokrasi/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button