Berita Utama

Pengeluaran MyKid ditangguh 6 bulan

Industri mikrocip terjejas akibat pandemik COVID-19

MELAKA, 21 Jamadilakhir 1444H, Sabtu – Pengeluaran kad pengenalan MyKid ditangguh selama tempoh enam bulan berikutan kekurangan bekalan mikrocip di peringkat global.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh berkata, bagaimanapun proses pendaftaran bagi permohonan MyKid tetap berjalan seperti biasa.

Katanya, JPN sedang berusaha menyelesaikan tunggakan pengeluaran MyKid yang dihadapi sejak industri mikrocip terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Proses (permohonan) akan berterusan, setelah perolehan baharu bekalan cip kita akan serahkan secara berperingkat tapi untuk tempoh ini JPN bercadang akan membuat penangguhan sementara pengeluaran MyKid.

“Kita harap ibu bapa dapat bersabar kerana JPN sedang dalam proses perolehan baharu yang cuba akan selesaikan dalam tempoh enam bulan,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Susulan itu, beliau menyarankan orang ramai dan semua agensi kerajaan serta swasta menggunapakai sijil kelahiran sebagai pengganti dokumen pengenalan diri buat masa ini.

“Saya juga menyeru kepada semua agensi kerajaan dan swasta supaya menerima sijil kelahiran untuk sebarang urusan kanak-kanak, sama ada kegunaan sekolah atau pusat kesihatan.

“Jangan ingat MyKid satu-satunya dokumen diiktiraf kerana sijil kelahiran juga dokumen sah dikeluarkan kerajaan, saya juga mohon ibu bapa agar bersabar, kita faham ada rungutan dan JPN sedang berusaha mempercepatkan proses ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button