Berita UtamaDunia

40 maut pesawat terhempas di Nepal

Operasi menyelamat dilakukan, angka korban mungkin meningkat

KATHMANDU, 22 Jamadilakhir 1444H, Ahad – Sekurang-kurangnya 40 maut selepas sebuah pesawat yang membawa 72 penumpang terhempas di tengah Nepal, hari ini.

Jurucakap tentera Nepal, Krishna Bhandari berkata, ratusan pasukan penyelamat dikerah ke lokasi kejadian – yang berlaku di lereng bukit.

“Kami menjangkakan jumlah mayat ditemukan meningkat memandangkan keadaan kapal terbang tersebut musnah teruk,” katanya.

Perdana Menteri, Pushpa Kamal Dahal mengadakan mesyuarat tergempar dan menggesa agensi negeri untuk terbabit menjalankan operasi menyelamat.

Sementara itu, jurucakap syarikat penerbangan, Yeti Airline, Sudarshan Bartaula berkata, seramai 72 penumpang di dalam pesawat terbabit – 68 penumpang dan empat anak kapal.

Menurut pegawai di lapangan terbang, beberapa warga asing berada dalam pesawat berkenaan termasuk rakyat Australia, Perancis, Argentina, empat warga Russia, lima rakyat India, dua rakyat Korea Selatan dan seorang warga Ireland.

“Pasukan penyelamat dalam perjalanan dan kami tidak tahu keadaan sebenar sekiranya ada dalam kalangan mereka yang masih selamat,” kata Bartaula.

Pesawat dengan enjin berkembar ATR 72 – dikendalikan Yeti Airlines – yang dalam perjalanan dari Kathmandu ke Pokhara dilaporkan terhempas di antara kawasan lama dan baru Lapangan Terbang Pohkara di tengah Nepal.

Stesen televisyen tempatan menyiarkan rakaman menunjukkan kepulan asap tebal di lokasi insiden, manakala anggota pasukan SARS giat menjalankan operasi SAR dengan orang ramai dilihat turut berkumpul di kawasan bangkai kapal terbang itu.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button