Dunia

COVID-19: China rekod hampir 60,000 kematian dalam sebulan

Lebih 90 peratus babitkan individu 65 tahun ke atas

BEIJING, 22 Jamadilakhir 1444H, Ahad – Pihak berkuasa kesihatan China pada Sabtu melaporkan hampir 60,000 kematian berkaitan COVID-19 direkodkan dalam tempoh sebulan.

Angka itu adalah jumlah kematian terbesar pertama yang dikeluarkan oleh kerajaan sejak China melonggarkan sekatan wabak pada awal Disember lalu.

Menurut pegawai Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC), China merekodkan 59,938 kematian berkaitan COVID-19 antara 8 Disember 2022 hingga 12 Januari lalu.

Jumlah itu hanya merujuk kepada kematian yang direkodkan di kemudahan perubatan, namun dijangkakan ia berkemungkinan lebih tinggi.

Data itu termasuk 5,503 kematian disebabkan oleh kegagalan pernafasan secara langsung akibat virus itu dan 54,435 kematian disebabkan oleh keadaan asas berkait dengan COVID-19, kata Ketua Biro Pentadbiran Perubatan NHC, Jiao Yahui.

Katanya, purata umur mereka yang telah meninggal dunia ialah 80.3, dengan 90.1 peratus kematian membabitkan individu berusia 65 tahun ke atas.

Pegawai kesihatan juga menjangkakan bahawa puncak gelombang semasa sudah berlalu, berikutan hanya di bawah 2.9 juta pesakit melawat klinik demam pada 23 Disember.

Namun angka itu telah menurun kepada 477,000 di seluruh negara pada 12 Januari lalu.

Jiao berkata, bilangan pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital terus menurun seperti nisbah pesakit yang diuji positif wabak itu.

Sebelum ini, China didakwa tidak melaporkan jumlah kematian dengan angka tepat sejak membatalkan dasar sifar COVID-19 pada awal Disember lalu.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button