Berita Utama

Pengasuh taska tak mengaku dera bayi hingga koma

Tertuduh dibenar ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin

KUALA TERENGGANU, 22 Jamadilakhir 1444H, Ahad – Seorang pengasuh taman asuhan kanak-kanak (taska) berdaftar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan mendera seorang bayi sehingga koma.

Tertuduh, Raja Noor Iffa Nadia Raja Nordin, 27, didakwa menganiaya bayi tersebut sehingga menyebabkan pendarahan dalam kepala dan retak pada tempurung kepala sebelah kiri di sebuah taska, di sini, antara 1 hingga 3 Januari lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Nooriah Osman membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 16 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Hayyi Salim.

Media baru-baru ini melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma selepas dipercayai didera pengasuh di sebuah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar di Batu Buruk di sini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, mangsa koma selepas mengalami kecederaan serius termasuk pendarahan otak dan retak pada tempurung kepala.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button