Usul tambahan PAU 2022 burukkan lagi imej UMNO
Orang Melayu hilang percaya, banyak negatif dari positif pada parti

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 22 Jamadilakhir 1444H, Ahad – Usul tambahan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang membenarkan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dijangka mengakibatkan perpecahan dalam parti itu semakin membarah.
Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, situasi itu mengeruhkan lagi keadaan, selain membuktikan sememangnya wujud masalah dalaman di dalam UMNO.
“Tidak nafi UMNO sudah lama terpecah sejak Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengetuai UMNO berikutan banyak kluster timbul dan paling hebat adalah kluster Zahid dan kluster Kabinet.
“Keadaan ini hanya mengeruhkan keadaan, tambahan pula keadaan UMNO hari ini tidak lagi kuat apabila berlaku bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pembentukan kerajaan sekarang,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai usul tambahan PAU 2022 yang meluluskan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan tidak lama lagi.
Mengulas lanjut, Mujibu menegaskan, situasi yang berlaku dalam parti terbesar Melayu itu hanya memberi banyak kesan negatif berbanding positif, sekali gus menghilangkan kepercayaan orang Melayu kepada UMNO.
Beliau berpandangan, sekiranya jawatan itu dipertandingkan dan Ahmad Zahid masih kekal sebagai Presiden, namun ia memberikan gambaran lebih suci bagi membuktikan UMNO sedang berubah serta membersihkan imejnya.
“Saya rasa kalau jawatan ini berlaku ia membuka jalan dan memberi persepsi bahawa UMNO sedang membuat perubahan dan sedang perbaiki diri.
“Tetapi apabila perkara ini berlaku ia memburukkan lagi selain menambahkan kebencian rakyat membawa tahap kepercayaan UMNO bukan sahaja kepada orang luar tetapi dalaman UMNO sendiri,” katanya.
Beliau berkata, keadaan ini seolah-olah memberi peluang kepada pihak luar untuk mengeksploitasi parti dan memberi tanggapan buruk kepada UMNO itu sendiri.
“Apabila UMNO bercakap tentang reformasi dan mahu menaikkan pemimpin muda tetapi apabila tidak mempertandingkan jawatan utama ini ia menggambarkan parti ini tidak menunaikan janji dan sekali gus beri peluang kepada masyarakat di luar memberi pandangan yang teruk.
“Justeru, perlu ada perubahan segera dalam pimpinan parti itu supaya terus kekal relevan walaupun peratusan kepercayaan masyarakat terhadap parti itu semakin menipis,” katanya.