Berita UtamaDunia

Arab Saudi hukum mati profesor beri pandangan antikerajaan di media sosial

100 lelaki bersenjatakan mesingan, pistol kepung rumah Awad al-Qarni

RIYADH, 23 Jamadilakhir 1444H, Isnin – Seorang profesor undang-undang terkemuka Arab Saudi telah dijatuhkan hukuman mati hanya kerana mengeluarkan kenyataan di media sosial.  

Ulama proreformasi itu dituduh menggunakan platform seperti Twitter, Facebook, WhatsApp dan Telegram untuk menyebarkan berita antikerajaan, lapor The Guardian hari ini.

Lelaki berusia 65 tahun itu ditangkap pada September 2017 apabila Putera Mahkota Mohammed Bin Salman (MBS) yang baru dilantik ketika itu menyelia tindakan keras terhadap perbezaan pendapat, yang dianggap sebahagian daripada ‘usaha antirasuah’.  

Sebelum ditangkap, Awad al-Qarni mempunyai 2 juta pengikut di Twitter.

Anak lelaki Awad, Nasser yang melarikan diri dari kerajaan tahun lalu dan menetap di Britain di mana dia mencari suaka telah berkongsi butiran pertuduhan bapanya dengan akhbar itu.  

Pada Oktober, dia menggambarkan keadaan ganas yang menyelubungi penahanan bapanya oleh polis bersenjata berpakaian awam.

“Lebih 100 lelaki bersenjatakan mesingan dan pistol. Mereka mengepung rumah itu. Kami dihalang masuk ke dalam rumah secara paksa. Ia seperti medan perang,” katanya.

Tuduhan terhadap Awad termasuk penggunaan media sosial, khususnya akaun Twitter atas namanya sendiri, untuk menyatakan pendapatnya.  

Dia juga dituduh mengambil bahagian dalam sembang kumpulan WhatsApp dan mencipta akaun Telegram, serta memuji Ikhwanul Muslimin dalam video. Untuk rekod, dia berdepan hukuman mati untuk pertuduhan ini.

Dokumen mahkamah yang dikongsi Nasser juga menunjukkan bahawa penggunaan media sosial dianggap sebagai jenayah telah meningkat sejak MBS menjadi pemerintah de facto.

Tahun lalu Salma Al-Shehab, seorang pelajar PhD dan ibu kepada dua anak dari Leeds, dijatuhi hukuman penjara 34 tahun kerana mempunyai akaun Twitter dan mengikuti serta menciap semula penentang dan aktivis. Seorang lagi wanita, Noura Al-Qahtani, dijatuhi hukuman penjara 45 tahun kerana menggunakan Twitter.

Jeed Basyouni, ketua advokasi Timur Tengah dan Afrika Utara di kumpulan hak asasi manusia, Reprieve berkata, kes Awad adalah sebahagian daripada trend di mana ulama dan ahli akademik menghadapi hukuman mati kerana menulis tweet dan menyatakan pandangan mereka. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button