Berita UtamaIstimewa

Gagasan Bangsa-GTA terus perjuang isu Melayu walau tanpa Pejuang

Yakin boleh jadi alternatif untuk rakyat berbanding parti sedia ada

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 23 Jamadilakhir 1444H, Isnin – Gagasan Bangsa (GB) akan terus kekal sebagai komponen Gerakan Tanah Air (GTA) meskipun Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memutuskan menarik diri daripada gabungan itu.

Jurucakap GB, Haji Aminuddin Yahaya berkata, gagasan itu bersama GTA akan meneruskan perjuangan dalam isu-isu Melayu, integriti dan ekonomi rakyat walaupun tanpa Pejuang.

Bagaimanapun, selaku rakan komponen yang pernah bekerjasama sebelum ini, Gagasan Bangsa tetap menghormati keputusan yang dibuat oleh Pejuang untuk keluar daripada GTA.

“Kita doakan yang terbaik kepada mereka. Cuma kita harap mereka dapat meneruskan perjuangan menjayakan negara yang berintegriti, fokus pembangunan orang Melayu dan memperkuatkan agama Islam.

“Kita juga berharap boleh kerjasama lagi (dengan Pejuang) di masa-masa hadapan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Aminuddin yang juga Timbalan Pengerusi GTA berkata, setakat ini GB bersama GTA akan terus memperjuangkan nasib rakyat terutama bangsa Melayu bagi meyakinkan mereka bahawa gerakan itu adalah alternatif kepada parti-parti sedia ada yang lain.

Sebelum ini, Pejuang membuat ketetapan untuk menarik diri daripada GTA pada mesyuarat agung kedua parti itu pada Sabtu lalu.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ketetapan itu bagi membolehkan Pejuang diberikan sedikit masa untuk mengukuhkan parti dalam banyak perkara dilakukan sebelum benar-benar dapat memberi nilai tambah kepada mana-mana parti dalam gabungan itu.

Untuk rekod, GB merupakan gabungan NGO-NGO dari seluruh Malaysia dengan pelbagai latar belakang baik dari NGO Melayu, ahli akademik, agamawan, alam sekitar, profesional (peguam, dokor), kesenian, bekas pegawai kerajaan dan pelbagai lagi yang prihatin terhadap isu negara dan apa yang dihadapi oleh rakyat.

Gagasan itu juga sebahagian daripada komponen GTA bersama dengan Pejuang, BERJASA, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Ikatan India Muslim Nasional (IMAN).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button