Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Kos haji naik RM2,368

TH tanggung kenaikan melalui Bantuan Kewangan Haji kepada jemaah kali pertama

BANGI, 23 Jamadilakhir 1444H, Isnin – Kos menunaikan ibadah haji secara muasasah dijangka meningkat kepada RM31,000 berbanding RM28,632 musim lalu, pertambahan sebanyak RM2,368.

Pengarah Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, beberapa faktor mempengaruhi kenaikan termasuk inflasi dalam ekonomi global, kenaikan harga cukai, pertukaran mata wang dan harga hartanah di tanah suci yang meningkat.

“Kenaikan ini juga disebabkan caj tambahan melibatkan kemudahan sedia ada dan baharu seperti khemah di Arafah dan Mina, mutawwif dan penggunaan bas yang lebih baik di Arab Saudi.

“Tetapi TH memberi jaminan untuk meneruskan Bantuan Kewangan Haji kepada golongan berpendapatan rendah melalui mekanisme Bayaran Haji secara bersasar yang mula diperkenalkan pada musim haji tahun lalu.

“Kenaikan kos berkenaan akan ditanggung sepenuhnya oleh TH melalui Bantuan Kewangan Haji atau Hajj Financial Support (HAFIS) bagi jemaah menunaikan haji buat pertama kali secara muassasah,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia, hari ini.

Mengulas lanjut Syed Saleh berkata, pada musim haji lalu, penetapan Bayaran Haji bersasar adalah pada kadar RM10,980 (38 peratus daripada kos haji) bagi jemaah B40, manakala RM12,980 (45 peratus daripada kos haji) bagi jemaah haji bukan B40.

“TH telah memberi bantuan sebanyak 62 peratus (RM17,652) bagi seorang jemaah haji golongan B40 manakala 55 peratus (RM15,652) bagi jemaah haji bukan golongan B40 .

“Manakala bagi jemaah muassasah menunaikan haji kali kedua atau lebih, mereka perlu membuat bayaran penuh,” katanya.

Kos haji itu merangkumi tiket penerbangan, pengangkutan di Tanah Suci, sewaan bilik penginapan di Mekah dan Madinah, kos sajian makanan dan bayaran untuk pelbagai perkhidmatan asas kepada pihak-pihak berwajib di Arab Saudi.

Atas dasar itu, Syed Saleh berkata, bagi menangani kesan kenaikan kos haji ini, TH memeterai perjanjian jangka panjang dengan syarikat-syarikat penerbangan dan juga memajak bangunan penginapan jemaah haji di Mekah dan Madinah untuk beberapa musim dalam usaha mengekalkan harga sewaan.

Bagi musim haji kali ini, Malaysia memperoleh semula kuota rasmi jemaah haji yang pernah ditetapkan oleh Arab Saudi pada awal 2020 lalu sebanyak 31,600 orang berbanding 14,306 orang pada tahun lepas akibat pandemik COVID-19.

TH juga menetapkan penerbangan pergi pertama jemaah pada 21 Mei 2023 (dan penerbangan pergi terakhir pada 21 Jun 2023 , manakala penerbangan pulang pertama pada 6 Julai 2023 dan penerbangan pulang terakhir pada 2 Ogos 2023 .

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button