Kotak hitam pesawat terhempas Yeti Airlines ditemukan
Pengecaman 35 mayat selesai dilakukan di lokasi kejadian

POKHARA, 23 Jamadilakhir 1444H, Isnin – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) telah menemukan kotak hitam pesawat Yeti Airlines yang terhempas di Pokhara, Nepal yang mengorbankan 68 penumpang, semalam.
Jurucakap Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan Kathmandu, Prem Nath Thakur mengesahkan penemuan kotak hitam yang telah diserahkan kepada Tentera Nepal bagi menyiasat punca penerbangan terhempas.
Anggota SAR dilaporkan berdepan cuaca buruk dalam proses mencari mayat mangsa terkorban, dengan 68 mangsa disahkan terkorban setakat ini.
Pesawat ATR 72-500 itu membawa 57 rakyat Nepal, lima India, empat Russia, dua Korea Selatan dan masing-masing seorang rakyat Argentina, Ireland, Australia dan Perancis.
Sementara itu, pengecaman 35 mayat telah selesai dilakukan di lokasi nahas pesawat Yeti Airlines di daerah Kaski di barat Nepal.
Sementara itu, Pemangku Pegawai Polis Daerah Kaski, Inspektor Polis Gyan Bahadur Khadka berkata, semua mayat yang ditemui telah dihantar Ke Akademi Sains Kesihatan Pokhara dan akan diserahkan kepada ahli keluarga selepas proses bedah siasat.
Dalam laporan semalam, sebuah video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan pesawat itu kelihatan terbang rendah melintasi sebuah kawasan berkepadatan penduduk tinggi sebelum membuat belokan tajam.
Saksi kejadian juga berkata, sejurus terhempas, kelihatan asap hitam berkepul ke udara serta mereka melihat serpihan-serpihan pesawat yang masih terbakar.
Ratusan anggota tentera Nepal dikerah ke lokasi nahas di kawasan lembah Sungai Seti, yang hanya sejauh 1.5 kilometer dari lapangan terbang.
Penyiasat berkata, proses siasatan dan penentuan punca insiden berkenaan dijangka mengambil masa beberapa bulan. – Agensi